Cadangan bubar Parlimen tidak berasas, PH masih ada mandat

LocalPolitics
5 Aug 2026 • 2:29 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Cadangan bubar Parlimen tidak berasas, PH masih ada mandat

PETALING JAYA: Cadangan agar Parlimen dibubarkan sekiranya DAP menarik diri daripada kerajaan dilihat tidak berasas sama sekali.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, ini kerana Kerajaan Perpaduan masih mempunyai mandat dan sokongan mencukupi untuk mentadbir sehingga tamat penggal.

Malah katanya, cadangan Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil sebelum ini juga sekali gus menunjukkan kegagalan beliau untuk memahami asas pembentukan kerajaan dipilih rakyat.

“Pentadbiran sesebuah kerajaan dibina hasil daripada mandat rakyat dan seharusnya diselesaikan dalam tempoh satu penggal penuh, apatah lagi kecemerlangan pentadbiran itu terbukti memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Jika akar umbi DAP mengambil keputusan agar pimpinan mereka meninggalkan posisi pentadbiran, keadaan tetap stabil kerana ahli Parlimen mereka masih menjadi sebahagian daripada blok penyokong kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Khairul berkata, rakyat Malaysia perlu diberi peluang menentukan hala tuju negara menerusi mandat baru, sekiranya DAP menarik diri daripada Jemaah Menteri.

Menurutnya, langkah itu bukan hanya melibatkan rombakan pentadbiran, sebaliknya petanda kerajaan perpaduan sudah kehilangan kesepaduan.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, sekiranya DAP tidak menjadi sebahagian kerajaan, ahli Parlimennya masih boleh kekal sebagai sebahagian blok penyokong kerajaan.

Katanya, langkah itu lebih bersifat strategi dalaman parti untuk memfokuskan usaha memperkukuh organisasi, bukannya petanda kerajaan hilang majoriti.

“Dengan dibarisi lebih dua pertiga ahli Parlimen, pastinya kerajaan Madani tidak akan menghadapi masalah untuk melengkapkan jumlah menteri Kabinet yang diperlukan bagi membantu kelancaran pentadbiran.

“Pun begitu, keberadaan wakil DAP dalam pentadbiran kerajaan Madani tidaklah mendatangkan sebarang impak buruk, selain ianya dijadikan alasan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan sentimen tidak wajar.

“Malah, menteri dan timbalan menteri yang mewakili DAP tuntas menjalankan amanah yang diberikan di sebalik tekanan fitnah politik berpanjangan,” katanya. – UTUSAN

The post Cadangan bubar Parlimen tidak berasas, PH masih ada mandat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved