Pas tuntut laporan siasatan Azam Baki didedahkan dalam tujuh hari

LocalPolitics
30 Mar 2026 • 6:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tuan Ibrahim

SHAH ALAM - Pas mendesak kerajaan supaya mendedahkan laporan siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki kepada umum dalam tempoh tujuh hari.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan menyembunyikan laporan berkenaan, jika benar adalah satu pengkhianatan besar terhadap prinsip ketelusan dan akauntabiliti yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, rakyat berhak mengetahui hasil siasatan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara itu memandangkan ia membabitkan kepentingan awam dan integriti badan pencegah rasuah negara.

"Bloomberg melaporkan Perdana Menteri sendiri mengarahkan pegawai kerajaan supaya tidak mendedahkan laporan siasatan terhadap pegangan saham Azam kepada orang ramai dengan segera.

"Jika benar, ini bercanggah dengan jaminan Perdana Menteri di Parlimen pada 3 Mac lalu bahawa siasatan akan dijalankan secara telus.

"Laporan sudah selesai, sudah dibentangkan di Kabinet dan dirujuk kepada Ketua Setiausaha Negara, namun rakyat masih dalam gelap," ujarnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau turut mempersoalkan mengapa laporan tersebut perlu disembunyikan sekiranya dapatan siasatan membuktikan Azam tidak bersalah.

Tuan Ibrahim turut menarik perhatian mengenai perubahan sikap Perdana Menteri yang dahulunya, ketika menjadi Ketua Pembangkang pada 2022, merupakan individu paling lantang menuntut Azam digantung tugas atas isu serupa.

"Hari ini sebagai Perdana Menteri, beliau bukan sahaja enggan menggantung Azam, malah membaharui kontrak beliau sebanyak tiga kali. Ini menunjukkan prinsip ketelusan hanya terpakai apabila memihak kepada kepentingan beliau," ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, Tuan Ibrahim menggariskan empat tuntutan utama kepada kerajaan bagi memastikan kemelut itu diselesaikan secara telus.

Pertama, beliau mendesak agar laporan siasatan jawatankuasa khas yang diketuai Peguam Negara didedahkan sepenuhnya kepada rakyat dalam tempoh tujuh hari, tanpa sebarang justifikasi untuk menyembunyikannya.

"Kedua, jika dapatan siasatan mendapati Azam melanggar peraturan pegangan saham penjawat awam, beliau mesti digantung tugas serta-merta sementara tindakan disiplin dan undang-undang diambil.

"Badan pencegah rasuah tidak boleh diketuai individu yang sedang disiasat atas dakwaan integriti," ujarnya.

Tuntutan ketiga pula melibatkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan rangkaian 'mafia korporat' yang dikaitkan dengan SPRM, memandangkan siasatan dalaman oleh pihak eksekutif dianggap tidak mencukupi untuk menangani dakwaan seberat itu.

Akhir sekali, beliau menegaskan kepentingan pengawasan Parlimen di mana SPRM seharusnya diletakkan di bawah pemantauan langsung Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi menjamin kebebasannya daripada sebarang pengaruh atau kepentingan politik pihak eksekutif.

Beliau mengingatkan Perdana Menteri bahawa amanah memimpin adalah milik rakyat dan 'reformasi' yang dilaungkan selama dua dekad tidak seharusnya sekadar menjadi slogan politik.

"Jika hari ini Perdana Menteri memilih untuk menyembunyikan dapatan siasatan demi melindungi seorang individu, maka beliau bukan lagi pejuang reformasi, sebaliknya menjadi sebahagian daripada masalah yang dijanjikan untuk diselesaikan," tegasnya.