
KIULU: Dakwaan rasuah yang tular baru-baru ini melalui dua klip video membabitkan Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) didakwa sebagai taktik pihak tertentu untuk mengganggu tumpuan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata tuduhan itu jelas bermotif politik dan disebarkan bagi melemahkan semangat ahli serta kepimpinan parti.
“Rakan seperjuangan kita, Datuk Dr Joachim Gunsalam dan Datuk Seri Jahid Jahim, sudah memberi penjelasan mengenai perkara tersebut. Saya percaya pemimpin di semua peringkat serta ahli dan penyokong akan kekal berjuang bersama,” katanya.
“Kami menganggap ini sebagai agenda politik yang bertujuan melemahkan parti dan sebab itu kita tidak boleh terganggu dengan tohmahan seperti ini,” tambahnya ketika berucap pada Sesi Bertemu Rakyat di Kampung Bambangan Lama, di sini, Isnin.
Joniston, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, menegaskan PBS kekal berpegang pada nilai akauntabiliti, kejujuran dan ketelusan dalam perjuangan politiknya.
“Walaupun ada pihak cuba menggunakan isu ini sebagai ‘peluru’ politik, PBS akan terus menumpukan usaha kepada perkara lebih penting iaitu berkhidmat kepada rakyat dan mendapatkan kepercayaan mereka,” ujarnya.
Beliau menambah, PBS amat menghargai kepercayaan rakyat dan percaya keyakinan itu hanya dapat dikekalkan melalui tindakan dan parti akan membuktikannya melalui integriti, perkhidmatan serta akauntabiliti.
PBS, katanya, akan terus memperjuangkan kebajikan rakyat serta memastikan pembangunan dan peluang ekonomi dapat dinikmati secara seimbang di seluruh Sabah menerusi pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kami percaya rakyat akan menilai GRS berdasarkan rekod prestasi yang terbukti, bukan berdasarkan perkara tidak benar yang disebarkan oleh pihak lawan.
“Fakta dan angka tidak berbohong. Di bawah GRS, Sabah mencatatkan hasil negeri tertinggi, bukti jelas kepimpinan yang bertanggungjawab,” katanya.
Terdahulu, sejak beberapa hari lalu, dua video tular menunjukkan perbualan yang didakwa melibatkan Dr Joachim dan Jahid bersama seorang individu yang mendakwa memberi sejumlah wang berkait lesen carigali mineral.
