
KUALA LUMPUR - Seorang guru wanita dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini daripada dua pertuduhan melakukan serangan seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun, tiga tahun lalu.
Hakim Tasnim Abu Bakar membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh yang berusia 32 tahun.
“Sehubungan itu, kamu dilepas dan dibebaskan daripada kedua-dua pertuduhan,” katanya kepada tertuduh yang dilihat tenang di kandang tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh yang mempunyai hubungan amanah sebagai seorang guru didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap remaja lelaki yang berusia 15 tahun tiga bulan ketika kejadian.
Bagi pertuduhan pertama, kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah kereta di tepi Jalan Datuk Abdul Malik pada jam 8 malam, 23 Jun 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.
Di bawah Seksyen 16(1) akta berkenaan, tertuduh turut berdepan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan tidak kurang dua sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi pertuduhan kedua, wanita terbabit didakwa melakukan kesalahan sama di dalam sebuah kereta di hentian bas Jalan Raja Muda Abdul Aziz pada jam 9 malam, tarikh yang sama.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan. - Getaran, 29 April 2026
