Dakwaan Tun M punca Melayu berpecah hanya naratif berulang – Khaled Nordin

LocalPolitics
11 Apr 2026 • 1:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khaled Nordin

KOTA TINGGI – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa UMNO menjadi punca perpecahan orang Melayu sebagai satu naratif yang berulang dan tidak perlu diulas panjang.

Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, tuduhan tersebut telah lama dibangkitkan dan sering diulang oleh bekas Presiden UMNO berkenaan.

“Dia daripada dulu memang kata macam-macam, jadi tak perlu nak ulas. Tepuk sebelah tangan tak boleh bunyi,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelepasan Benih Udang Galah di Sungai Gembut, Tanjung Sedeli, di sini pada Sabtu.

Rabu lalu, Dr Mahathir mendakwa perubahan perjuangan UMNO antara faktor yang membawa kepada perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Menurutnya, masih ramai ahli kekal dalam UMNO walaupun mendakwa parti itu telah berubah daripada perjuangan asalnya sebagai parti kebangsaan kepada parti yang mengejar kekayaan.

Mengulas mengenai permohonan bekas pemimpin UMNO lain untuk menyertai Rumah Bangsa, termasuk Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Khairy Jamaluddin, Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 17 April ini.

Beliau menegaskan, tidak mahu mendahului keputusan MKT kerana jumlah sebenar serta nama-nama lain masih belum dimuktamadkan, selain beberapa agenda lain turut akan dibincangkan.