Tun M jawab tuduhan pecah-belah Melayu

LocalPolitics
7 Apr 2026 • 2:14 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Tun Mahathir

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan bahawa beliau menjadi punca perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Tun Mahathir berkata, tindakan keluar dari UMNO dan menubuhkan Bersatu sebenarnya akan mengekalkan orang Melayu dalam satu parti.

Namun, menurutnya ramai ahli UMNO memilih untuk kekal dalam parti itu.

“Jadi Parti Bersatu tidak dapat menggantikan UMNO sebagai parti Melayu yang memperjuangkan bangsa, negara dan agama. Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Parti Bersatu cuma menang 13 kerusi.

“Maka berlakulah perpecahan dalam kalangan orang Melayu kerana sokongan kepada UMNO diteruskan.

“Ya, ini bermakna perpecahan dalam kalangan orang Melayu,” ujarnya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Tambah beliau, ramai yang terus berada dalam UMNO tanpa mengambil kira perubahan perjuangan daripada parti kebangsaan kepada parti yang mementingkan kekayaan.

Jelasnya, ramai juga yang keluar dari UMNO tetapi mereka tidak menyertai Bersatu.

“Maka berpecahlah orang Melayu. Jika majoriti mereka menyertai Bersatu, maka perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak akan berlaku.

“Jika Bersatu tidak ditubuhkan, perpecahan akan berlaku juga kerana terdapat beberapa parti lain ditubuhkan. Dengan menyertai parti-parti lain ini, orang Melayu terus berpecah.”