Dakwaan wujud mafia korporat: Parlimen diberitahu tindakan SC tidak melampaui bidang kuasa

LocalBusiness & Finance
8 Oct 2026 • 12:20 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Dakwaan wujud mafia korporat: Parlimen diberitahu tindakan SC tidak melampaui bidang kuasa Image from: Dakwaan wujud mafia korporat: Parlimen diberitahu tindakan SC tidak melampaui bidang kuasa amree08/10/2026 - 12:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 8 Okt — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) tidak melampaui bidang kuasanya dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak, sebaliknya semua tindakan penguatkuasaan berdasarkan peruntukan undang-undang, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

 

Beliau memberi penjelasan tersebut ketika persidangan Dewan Rakyat susulan kebimbangan mengenai dakwaan wujud amalan menyerupai 'mafia korporat' yang dikatakan boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam aspek kawal selia serta menjejaskan keyakinan pelabur dan syarikat.

 

Tambah beliau, SC mempunyai mandat yang jelas untuk membangunkan dan mengawal selia pasaran modal serta melindungi kepentingan semua pelabur, dengan tindakan penguatkuasaan dikenakan itu turut ditentukan berdasarkan kepada jenis serta tahap keseriusan kesalahan.

 

“Dalam penguatkuasaan, SC menggunakan tindakan jenayah, sivil atau pentadbiran mengikut sifat dan kesalahan untuk menghukum pesalah, mendapatkan semula wang pelabur dan mengekalkan keyakinan pelabur,” kata Amir Hamzah menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka).

 

Tambah beliau memberikan contoh, SC sudah memperoleh kira-kira sembilan sabitan jenayah sepanjang tahun lalu, dengan jumlah denda yang dikenakan oleh mahkamah mencecah nilai sebanyak RM13.1 juta.

 

SC_DagangNews2026

 

Selain itu, tindakan penguatkuasaan sivil menghasilkan kira-kira RM20.1 juta melalui pembayaran balik keuntungan tidak sah dan penalti sivil, manakala penyelesaian kawal selia menyumbang sejumlah RM9.08 juta lagi.

 

Di samping itu, Amir Hamzah menegaskan, sebanyak RM1.98 juta sudah dikembalikan kepada seramai 239 pelabur, manakala RM8.6 juta diperuntukkan bagi pembayaran balik kepada sejumlah 933 pelabur.

 

"SC turut mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat dalam penipuan sekuriti, termasuk kes membabitkan Teh Poh Yee dan empat individu lain yang diperintahkan mahkamah membayar RM100.6 juta, tidak termasuk penalti sivil antara RM350,000 hingga RM1 juta," katanya.

 

Dalam satu lagi kes yang membabitkan Ang Beng Cheang, perayu ujar beliau, diperintahkan untuk membayar sebanyak RM2.04 juta serta kos kepada SC.

 

Sementara itu, Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang) mempersoalkan sempadan bidang kuasa SC dengan mendakwa terdapat tindakan terhadap syarikat yang berada di bawah kawal selia Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain ketidaktentuan tindakan boleh menakutkan pelabur asing.

 

Menjawab perkara itu, Amir Hamzah berkata setiap pengawal selia mempunyai mandat masing-masing dan sekiranya sesuatu siasatan melibatkan bidang kuasa berbeza, agensi berkaitan akan bekerjasama untuk menentukan bidang kuasa serta tindakan.

 

"Perkara tersebut dilaksanakan dengan berdasarkan peruntukan undang-undang bagi memastikan kepentingan pelabur dan integriti pasaran modal Malaysia terus terpelihara," tambah beliau. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved