Dalang lombong emas haram di Kelantan diburu

LocalEnvironment
16 Jul 2026 • 1:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dalang lombong emas haram di Kelantan diburu
Antara jentera disita hasil serbuan di kawasan lombong haram di Kampung Pulai di Gua Musang. Foto: Facebook Dr Mohamed Fadzli
Image from: Dalang lombong emas haram di Kelantan diburu
Dr Mohamed Fadzli. FOTO: SINAR HARIAN/ ADILA SHARINNI WAHID

KOTA BHARU – Penguatkuasaan terhadap kegiatan perlombongan emas haram tidak akan terhenti setakat penahanan individu di lokasi, sebaliknya akan diperluaskan bagi mengesan dalang yang terlibat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, siasatan kes perlombongan emas haram akan melibatkan pihak yang dipercayai menjadi pemodal, penganjur, orang tengah, penyedia jentera atau bersubahat dalam aktiviti perlombongan emas secara haram.

“Saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang masih menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa lesen atau kelulusan yang sah supaya menghentikan operasi mereka dengan serta-merta.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang pencerobohan dan eksploitasi sumber mineral negeri secara haram kerana kegiatan ini menjejaskan pengurusan sumber mineral, merosakkan alam sekitar serta menghakis hasil yang menjadi hak kerajaan negeri dan rakyat Kelantan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

**media[3584086]**

Beliau berkata demikian selepas Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Kelantan mengetuai operasi penguatkuasaan bersepadu di Galas, Gua Musang pada Isnin lalu bagi membanteras kegiatan perlombongan emas yang disyaki dijalankan secara haram.

Dalam operasi itu, tiga warga asing ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan emas tanpa kelulusan sah manakala pelbagai jentera dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan turut dirampas.

Antara barangan disita ialah dua buah excavator, dua buah jentolak, tiga buah lori, sebuah dumper, sebuah generator elektrik, sebuah palong besi serta 20 unit karpet yang digunakan dalam proses pengasingan mineral dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM4.2 juta.

Mohamed Fadzli berkata, tindakan undang-undang akan diambil terhadap semua pihak yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan Enakmen Mineral (Kelantan) 2001 dan undang-undang berkaitan.

“Kertas siasatan akan dibuka bagi dan menjalankan siasatan menyeluruh termasuk pemeriksaan di lapangan, pengumpulan bahan bukti serta pemanggilan saksi bagi melengkapkan siasatan sebelum tindakan pendakwaan diteruskan.

“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh operasi penguatkuasaan secara bersepadu bersama PTG, Bahagian Penguatkuasaan Negeri Kelantan, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia serta agensi berkaitan,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perlombongan emas haram supaya menyalurkannya kepada pihak berkuasa bagi memastikan khazanah mineral negeri diurus mengikut lunas undang-undang.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved