Kejayaan PRN Johor jadi pembakar semangat BN cipta kemenangan di Negeri Sembilan - Ahmad Zahid

LocalPolitics
15 Jul 2026 • 11:19 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kejayaan PRN Johor jadi pembakar semangat BN cipta kemenangan di Negeri Sembilan - Ahmad Zahid
Ahmad Zahid berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN di pekarangan Parkir Stadium Paroi pada Rabu. Foto Bernama

SEREMBAN - Kejayaan di Johor perlu dijadikan pembakar semangat untuk Barisan Nasional (BN) bekerja lebih kuat dan tersusun bagi melakar kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu, seluruh jentera diseru turun ke gelanggang menziarahi setiap rumah dan mendekati seramai mungkin pengundi.

"Kemenangan besar BN di Johor dengan mendapat 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), memperoleh hampir 60 peratus undi popular serta mencatat kemenangan terbesar dalam sejarah BN di negeri itu, membuktikan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang mampu menawarkan kestabilan politik, memacu pembangunan ekonomi dan mentadbir secara bertanggungjawab,” katanya.

'Linggi bukan kerusi selamat, itu kubu kuat BN' - Aminuddin

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Jentera BN dan pengumuman calon bagi PRN Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini, yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan serta barisan kepimpinan gabungan itu.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, selain itu, kejayaan di Johor juga dicapai hasil semangat kebersamaan seluruh keluarga besar BN yang bergerak sebagai satu pasukan, saling mempercayai dan saling melengkapi, dan formula yang sama perlu diterapkan pada PRN Negeri Sembilan.

"Tinggalkan segala perbezaan, padamkan segala rasa kecil hati dan satukan seluruh kekuatan di bawah satu panji perjuangan. Apabila kita bersatu, rakyat akan kembali yakin. Apabila rakyat kembali yakin, insya-Allah kemenangan akan menjadi milik BN,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

DAP anggap Aminuddin panglima perang, pilih sebagai 'poster boy' PH

Jangan jadikan krisis institusi Diraja sebagai bahan kempen - PM

PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi

Beliau turut mengingatkan semua jentera parti supaya tidak terlalu memikirkan soal calon sehingga mengabaikan tanggungjawab lebih besar iaitu memastikan kemenangan BN.

"Jangan terlalu sibuk memikirkan dapat jadi calon atau tidak sehingga terlupa tugas yang lebih besar iaitu memenangkan BN di tempat masing-masing.

"Siapa pun calon yang diputuskan, siapa jua yang akan jadi calon Menteri Besar, tugas jentera tetap sama. Rapatkan saf, kuatkan gerak kerja, susun penerangan dan yakinkan rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri turut menzahirkan keyakinan BN boleh menambah bilangan kerusi pada PRN berkenaan berbanding 14 kerusi yang dimenangi gabungan itu pada PRN ke-15 pada 2023.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved