johardy03/06/2026 - 09:35 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 3 Jun - Aliran jualan oleh pelabur asing di Bursa Malaysia berterusan untuk minggu ketiga berturut-turut dengan aliran keluar bersih sebanyak RM2.53 bilion, sekali gus mencerminkan sentimen risiko yang masih berlarutan, kata MBSB Research.
"Perubahan ini selari dengan trend peralihan semula dana serantau yang lebih luas, apabila pelabur menilai semula penilaian pasaran, dinamik mata wang serta ketidaktentuan makroekonomi global," kata firma penyelidikan itu dalam nota terkini.
Bagi Mei 2026, pelabur asing kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar sebanyak RM3.56 bilion, sekali gus membalikkan trend aliran masuk pada April, kata MBSB Research, ketika pelabur global menilai semula risiko dan penilaian pasaran serantau.
Secara lebih luas, aliran keluar bersih ekuiti asing 12 bulan meningkat kepada RM12.3 bilion daripada RM11.8 bilion minggu sebelumnya, namun masih lebih baik berbanding RM13.8 bilion setahun lalu, menurut firma penyelidikan itu, menunjukkan tekanan jualan struktur yang masih wujud walaupun semakin berkurang.
Aliran serantau bercampur
Di peringkat serantau, aliran dana asing kekal tidak menentu, menurut MBSB Research. Berdasarkan lapan pasaran Asia yang dipantau, pelabur asing mencatat aliran masuk bersih sebanyak AS$666.3 juta minggu ini, menamatkan dua minggu berturut-turut aliran keluar.
Namun, hanya Taiwan mencatat aliran masuk, manakala Korea Selatan, Indonesia, India, Vietnam, Filipina, Thailand dan Malaysia merekodkan aliran keluar.
Prestasi pasaran ekuiti pula kebanyakannya mengukuh. 12 daripada 20 indeks utama ditutup lebih tinggi, dipacu oleh lonjakan pasaran Korea Selatan KOSPI (+8.0%), diikuti Taiwan TAIEX (+5.8%) dan Jepun Nikkei 225 (+4.7%), kata MBSB Research, disokong sentimen risiko terhadap sektor teknologi dan eksport.
Di ASEAN, sentimen kekal lemah. Indeks Filipina PSEi merosot 3.2%, manakala FBM KLCI dan Indeks Hang Seng masing-masing susut 1.7%, menurut firma itu.
Dalam pasaran mata wang dan komoditi, ringgit mengukuh 0.1% kepada RM3.9645 berbanding dolar AS. Harga minyak mentah Brent susut 11.1% kepada AS$92.05 setong, manakala minyak sawit mentah (CPO) meningkat 1.1% kepada RM4,535 satu tan, kata MBSB Research.
Secara keseluruhan, MBSB Research berkata Malaysia masih terjejas oleh aliran keluar asing yang berterusan walaupun sentimen ekuiti global bertambah baik, dengan aliran peralihan serantau masih memihak kepada pasaran Asia Utara berbanding ASEAN. - DagangNews.com






