amree28/05/2026 - 09:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Mei — Prestasi lemah syarikat bersekutu utama, Wilmar International Ltd terus memberi tekanan kepada keuntungan PPB Group Berhad bagi suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).
Menurut MBSB Research, keuntungan bersih kumpulan itu merosot hampir 30% tahun ke tahun (YoY), dan situasi tersebut menyebabkan firma ini menurunkan unjuran hasil FY26 hingga FY28 kira-kira 6%.
Ia susulan jangkaan sumbangan rendah daripada Wilmar dan kurang pendapatan segmen teras kumpulan, namun mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham dengan harga sasaran (TP) ialah RM11.20 sesaham.
"Unjuran tersebut berdasarkan penilaian kira-kira 13 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) ke atas EPS saham PPB sepanjang tahun kewangan 2026 sebanyak 86.1 sen," jelasnya dalam nota analisis.
Walaupun keputusan 1QFY26 berada di bawah jangkaan, MBSB Research masih positif terhadap prospek jangka panjang disokong perniagaan berkaitan makanan, serta kedudukan tunai syarikat yang kukuh.
Kumpulan tersebut ujarnya, mencatatkan hasil sebanyak RM1.29 bilion bagi 1QFY26, susut 4.9% YoY, manakala keuntungan bersih teras kepada pemegang saham merosot kira-kira 29.7% kepada RM249 juta.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, prestasi bagi 1QFY26 dicatatkan PPB hanya memenuhi kira-kira 18.7% daripada unjuran penuh tahunnya dan sebanyak 17.3% daripada jangkaan konsensus pasaran.
Prestasi Semasa Menunjukkan Momentum Operasi Perlahan
"Segmen bijirin dan pertanian kekal penyumbang utama, namun pendapatan jatuh 9.8% kepada RM897.3 juta disebabkan jualan rendah bagi segmen kecil tepung dan makanan ternakan," kata MBSB Research.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) segmen itu turut menjunam 48.9% kepada RM63.6 juta dengan margin susut kepada 7.1% berbanding 12.5% sebelumnya akibat tekanan margin dan volum jualan lebih lemah.
Pada masa sama, segmen produk pengguna PPB mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 17.4% kepada RM247.3 juta disumbangkan oleh pengambilalihan baharu Min Tien Group dan Eggtech Manufacturing.
Segmen itu ujar MBSB Research, namun kerugian RM2 juta berbanding keuntungan RM0.6 juta setahun lalu berikutan jualan rendah beberapa produk makanan ruji dan peningkatan kos promosi perdagangan.
"Bagi segmen pameran dan pengedaran filem, hasil menurun 4.5% kepada RM124.6 juta dan kerugian naik kepada RM7.3 juta susulan kutipan rendah, serta peningkatan kos operasi pawagam," katanya.
MBSB Research berkata, prestasi suku semasa juga menunjukkan momentum operasi yang lebih perlahan selepas prestasi kukuh dicatatkan pada suku keempat FY25 sebelum ini. - DagangNews.com






