Dana Mitra: Injunksi sembilan pemimpin MIC terhadap Syed Imran ditolak

LocalPolitics
24 Aug 2026 • 6:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dana Mitra: Injunksi sembilan pemimpin MIC terhadap Syed Imran ditolak
Syed Imran (tiga dari kanan) dan barisan peguamnya hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Isnin. Foto: NOOR AZLIDA ALIMIN.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin menolak permohonan injuksi sementara oleh sembilan pemimpin Parti MIC bagi menghalang Presiden Persatuan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Imran Syed Abdul Aziz menerbitkan dan mengulangi kenyataan didakwa berunsur fitnah.

Dakwaan itu menyentuh isu dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).

Pesuruhjaya Kehakiman, Datin Asmah Musa kemudian memerintahkan pengurusan kes tersebut dipercepatkan untuk mendapatkan perbicaraan awal kerana sifat tindakan tersebut menarik perhatian awam.

Semasa membaca keputusan, beliau menolak permohonan plaintif-plaintif kerana mereka gagal memenuhi ambang khas injunksi sementara bagi tindakan memfitnah.

“Kes ini lebih sesuai ditentukan dalam perbicaraan penuh dan tidak sepatutnya diputuskan di peringkat ini,” katanya.

Pada 29 Jun, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran, Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan dan tujuh lagi pemimpin parti selaku plaintif pertama hingga kesembilan, memfailkan saman fitnah terhadap Syed Imran di Mahkamah Tinggi di sini.

Tujuh lagi plaintif itu ialah Naib Presidennya, Datuk M Asojan, Datuk T Murugiah, Datuk Dr R Nelson, Datuk Seri S Vell Paari dan Tan Sri M Ramasamy, serta Setiausaha Agung, Datuk Dr S Ananthan dan Bendahari Agung, Datuk N Sivakumar.

Mereka memfailkan saman menerusi Messrs Kamil Hashim, Raj and Lim dan menamakan Syed Imran sebagai defendan tunggal.

Semua plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, serta pampasan, serta injunksi bagi menghalang penerbitan lanjut kandungan yang didakwa memfitnah itu, permohonan maaf secara terbuka dan tanpa syarat, penarikan balik kenyataan serta faedah lima peratus ke atas jumlah penghakiman.

Mereka mendakwa, video dalam aplikasi TikTok yang dimuat naik pada 28 Mei dan 21 Jun, masing-masing meraih 48,200 dan 25,600 tontonan, telah memfitnah dengan menyentuh isu dana Mitra dan mendakwa parti itu bertanggungjawab ke atas peruntukan berkenaan.

Ia termasuk sedutan daripada siaran podcast ‘TheGoodCastShow’ yang dimuat naik di TikTok pada 20 Jun, yang mana Syed Imran sewaktu mempersoalkan mengenai dana Mitra, menggambarkan pemimpin politik berkenaan sebagai 'ibu dan bapa MIC' yang diamanahkan untuk memelihara hak masyarakat India.

Plaintif dalam penyataan tuntutan mereka mendakwa, video tersebut merujuk kepada mereka walaupun nama mereka tidak disebut dalam klip berkenaan.

Mereka mendakwa bahawa video Syed Imran merupakan sebahagian daripada kempen yang disengajakan dan berterusan yang ditujukan kepada MIC serta kepimpinannya.

Bagaimanapun, Syed Imran telah membangkitkan pembelaan menyentuh komen yang berpatutan.

Beliau mendakwa, kenyataan-kenyataan yang dimuatnaik dalam beberapa video tersebut, sekadar melontarkan persoalan berhubung dana terbabit kepada MIC, selaku parti yang bertanggungjawab membela masyarakat India.

Dalam prosiding berkenaan, semua plaintif diwakili peguam, Datuk V Dhanaraj sementara defendan dihadiri peguam, Mohd Ruzaini Zulkifli, Muhamad Firdaus Jumaludin dan Ashraf Marzuki dari Tetuan Muhammad Firdaus & Co.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved