Danish Nazran puji polis tunai tanggungjawab undi awal di IPD Rembau

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 4:23 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

Danish Nazran puji polis tunai tanggungjawab undi awal di IPD Rembau

REMBAU – Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berlangsung lancar dengan kerjasama baik antara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan anggota pasukan keselamatan, sekali gus mencerminkan kesiapsiagaan semua pihak dalam memastikan proses demokrasi berjalan teratur.

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Chembong, Danish Nazran Murad, berkata hasil tinjauan di pusat pengundian awal pagi tadi mendapati perjalanan proses pengundian berada dalam keadaan baik selepas beliau menerima penerangan daripada pihak SPR berkaitan jumlah pengundi awal yang hadir.

“Alhamdulillah, bila saya sampai tadi dalam pukul 9 lebih, saya nampak semuanya berjalan lancar dan kita pun dah dapat sedikit penerangan daripada pihak SPR tentang undi awal, berapa ramai yang turun untuk mengundi di DUN Chembong ini.

“Kita faham dalam keadaan undi awal ini, apa-apa boleh berlaku dan sebagainya, tetapi saya mengucapkan syabas kepada pihak SPR atas pemantauan dan pengurusan undi awal hari ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada anggota polis serta pasukan beruniform lain yang hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal, selain menyeru anggota keselamatan yang masih belum mengundi supaya menggunakan peluang tersebut bagi melaksanakan hak demokrasi mereka.

“Terima kasih kepada anggota beruniform yang turun bagi undi awal pada hari ini. Kepada anggota polis ataupun anggota beruniform lain yang masih belum turun untuk menggunakan tanggungjawab anda, saya mohon untuk turun berbuat demikian kerana ini akan menentukan hala tuju negeri selepas PRN kali ini,” katanya.

Mengulas perkembangan kempen, Danish berkata jentera pilihan raya kini memasuki fasa kedua dengan usaha dipertingkat bagi mendekati pengundi serta menyampaikan mesej perjuangan kepada masyarakat setempat.

“Alhamdulillah, kita dah memasuki fasa kedua dalam tempoh kempen ini. Ini adalah fasa untuk kita all out segala usaha yang kita ada bagi mendapatkan sebanyak mungkin undian yang diperlukan untuk kemenangan di DUN Chembong,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyeru pengundi yang berada di luar kawasan tetapi berdaftar sebagai pengundi di DUN Chembong supaya pulang menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.

“Kita memohon kepada mereka yang berada di luar tetapi mengundi di sini untuk balik mengundi. Jangan persiakan undi anda kerana setiap undi amat penting dalam menentukan masa depan kawasan ini,” katanya.

Sebagai rekod, DUN Chembong yang berada di bawah Parlimen Rembau mempunyai kira-kira 26,547 pengundi berdaftar bagi PRN Negeri Sembilan ke-16. Kerusi berkenaan meliputi 12 daerah mengundi iaitu Ulu Pedas, Sepri, Kampung Rendah, Kampung Senama Ulu, Chembong, Pekan Pedas, Kampung Pedas Tengah, Pekan Rembau, Batu Hampar, Mampong, Pilin dan Kundor.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, kerusi DUN Chembong dimenangi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris, dengan majoriti 4,315 undi, sekali gus menjadikan kawasan itu antara kerusi tradisi yang mempunyai pengaruh kuat BN di negeri berkenaan.

The post Danish Nazran puji polis tunai tanggungjawab undi awal di IPD Rembau appeared first on MYBERITA.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved