Diramal Menang Selesa Di Negeri Sembilan, Zahid Gesa BN Kekal Rendah Diri 

LocalPolitics
28 Jul 2026 • 8:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Diramal Menang Selesa Di Negeri Sembilan, Zahid Gesa BN Kekal Rendah Diri 

KUALA LUMPUR - Seluruh jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) digesa terus mengamalkan sikap rendah diri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, meskipun terdapat ramalan yang menjangkakan gabungan itu mampu meraih kemenangan besar.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, BN akan terus membawa pendekatan sebagai “underdog” bagi memastikan semua pemimpin serta jentera parti kekal berdisiplin, fokus dan menghormati pengundi sepanjang tempoh berkempen.

Menurut beliau, BN tidak mahu dilihat terlalu yakin sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

“Kami sememangnya menganggap diri sebagai pencabar dalam pilihan raya negeri ini dan tidak mahu memberi gambaran bahawa kami terlalu yakin.

“Kami hanya yakin dengan usaha yang sedang dilakukan serta percaya BN mampu menawarkan sesuatu yang lebih baik kepada pengundi dan rakyat Negeri Sembilan berbanding apa yang mereka nikmati ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pekebun Kecil RISDA Zon Tengah 2026.

Ahmad Zahid mengulas analisis bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming daripada DAP yang meramalkan BN berpotensi memenangi sehingga 25 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan pada Jumaat ini.

Bagaimanapun, tegas Timbalan Perdana Menteri itu, ramalan tersebut tidak akan mengubah strategi kempen BN kerana parti itu mahu terus memberi perhatian kepada setiap pengundi, di samping memastikan calon serta jentera tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan sokongan rakyat.

“Pendekatan sebagai pencabar ini penting untuk mengingatkan pemimpin dan jentera parti supaya tidak melakukan perkara di luar batas yang diterima masyarakat atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan pengundi.

“Sebab itu kami berkempen secara sederhana dan merendah diri sambil memohon peluang daripada rakyat Negeri Sembilan untuk sekali lagi mentransformasikan negeri ini,” katanya.

Beliau mengakui, penyandang lazimnya mempunyai kelebihan dalam sesuatu pilihan raya, justeru BN perlu bekerja lebih keras bagi meraih semula keyakinan rakyat serta membuktikan kesediaan parti untuk mentadbir negeri berkenaan.

Menyentuh mengenai tawaran BN kepada rakyat, Ahmad Zahid berkata manifesto gabungan itu menyasarkan penciptaan 50,000 peluang pekerjaan baharu di Negeri Sembilan dalam tempoh lima tahun akan datang, selain memperluaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurutnya, pengukuhan TVET akan melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memenuhi keperluan industri, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membuka peluang kepada rakyat memperoleh pekerjaan bernilai tinggi serta bergaji lebih baik, selaras dengan agenda transformasi ekonomi negeri yang dibawa BN. - Getaran, 28 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved