Danisha atlet gimrama Kelantan

21 Oct 2026 • 10:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Danisha atlet gimrama Kelantan

BERAKSI gimrama sejak berusia tujuh tahun, remaja itu tidak pernah menyangka langkah kecil dalam sukan tersebut akan membawanya merentasi sempadan negara.

Bermula di negeri Kelantan, Nik Danisha Dania Nik Saharuddin, 17, atau lebih mesra disapa Danisha kini mempunyai pengalaman bertanding acara gimnastik di lebih 12 negara termasuk Bulgaria dan Kazakhstan, membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Remaja itu gigih berlatih dan antaranya bertanding dalam acara gimnastik berirama dan program senaman berkumpulan mewakili Kelantan dalam kejohanan peringkat kebangsaan (seperti Kejohanan Gimnastik Berirama Kebangsaan dan Kejohanan Remaja Kebangsaan).

Terbaharu, Danisha telah memenangi Pingat Emas di Kejohanan Aesthetic Group Gymnastics (AGG) Malaysia di bawah Program National AGG Development (NAD) dan Japanese Federation of Aesthetic Group Gymnastics (JFAGG) di Kuala Lumpur pada September lalu.

Namun, di sebalik kilauan pingat dan trofi, perjalanan Danisha bukanlah semudah yang disangka.

Pengorbanan keluarga, jadual latihan yang padat, tekanan pertandingan dan tuntutan pelajaran menjadi sebahagian daripada kisahnya sebagai atlet muda.

“Saya masih ingat, masa umur tujuh tahun saya cuma seorang budak kecil yang tak tahu sejauh mana sukan ini akan membawa diri ini,” katanya membuka bicara bersama K-Remaja.

Kongsinya lagi, dia mula terlibat dalam gimrama selepas terpilih menerusi pemilihan Majlis Sukan Negara (MSN) Kelantan di sekolah.

Walaupun gembira menerima peluang itu, dia turut tertanya-tanya sama ada mampu mengharungi perjalanan yang bakal ditempuh.

Pengalaman bertanding di Jepun ketika berusia tujuh tahun menjadi kenangan awal yang membuka matanya terhadap dunia sukan antarabangsa.

“Danisha masih kecil, jadi semuanya terasa besar. Tempat baharu, atlet-atlet dari negara lain dan pengalaman berada jauh dari kebiasaan. Ada rasa takut, tetapi ada juga rasa bangga kerana diberi peluang,” ujarnya.

Pengalaman tersebut juga mengajarnya supaya tidak mengehadkan impian hanya kerana usia yang masih muda atau berasal dari tempat yang jauh daripada pusat perhatian.

Perjalanan Danisha turut menuntut pengorbanan besar daripada keluarganya.

Selama setahun, dia dan ibu bapanya yang dipanggil mommy dan papa, berulang-alik dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur hampir setiap minggu demi memastikan latihan dapat diteruskan.

Ketika masih kecil, Danisha hanya memahami perjalanan itu sebagai sebahagian daripada rutin hariannya.

Namun, apabila semakin dewasa, barulah dia menyedari pengorbanan masa, tenaga dan perbelanjaan yang ditanggung keluarganya.

“Memang ada hari, saya letih dan rasa nak berhenti. Bila semakin besar, baru saya sedar setiap perjalanan itu datang bersama pengorbanan masa, tenaga dan perbelanjaan keluarga,” katanya.

Malah, jadual latihan turut mempengaruhi kehidupan persekolahannya apabila dia pernah hanya bersekolah empat hari seminggu.

Ketika rakan sebaya menikmati hujung minggu, Danisha pula menghabiskan masa di jalan raya atau gimnasium.

Bagaimanapun, pengalaman itu mengajarnya menghargai masa, pelajaran dan keluarga, selain memahami bahawa setiap individu mempunyai perjalanan tersendiri.

“Saya tak rasa semua remaja perlu melalui kehidupan seperti diri saya.

“Setiap orang ada jalan sendiri. Yang penting, jangan berhenti belajar dan jangan hilang diri sendiri ketika mengejar impian,” jelasnya.

Sepanjang penglibatannya dalam sukan, Danisha pernah menyertai pasukan kebangsaan gimrama berirama (Rhythmic Gymnastics, RG) sebelum beralih ke gimnastik kumpulan estetik (Aesthetic Group Gymnastics, AGG).

Peralihan itu memberikan pengalaman berbeza, khususnya dari segi disiplin dan kerjasama.

Jika RG menuntut ketepatan teknik serta keupayaan mengawal tekanan secara individu, AGG pula mengajarnya tentang kepercayaan dan kesepaduan pasukan.

“Dalam RG, saya banyak belajar tentang berdikari, ketepatan teknik dan bagaimana mengawal tekanan ketika membuat persembahan.

“Bila beralih ke AGG, saya belajar satu perkara baharu, kita tak boleh hanya fikir tentang diri sendiri,” katanya.

Bagi Danisha, kekuatan bukan sekadar kemampuan melakukan sesuatu sendirian, sebaliknya turut bergantung pada kesediaan untuk menyokong dan menerima sokongan orang lain.

Pengalaman bertanding di lebih 12 negara turut memperluas perspektifnya sebagai atlet. Antaranya, kejohanan World Championships di Bulgaria pada 2025, World Cup di Malaysia pada 2025 dan Kazakhstan pada 2026.

Ketika berdepan atlet hebat dari seluruh dunia, Danisha menyedari masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

Pada masa sama, peluang membawa nama Malaysia memberikan kebanggaan tersendiri.

Antara pencapaian yang sukar dilupakan ialah kejayaannya meraih tiga pingat emas dan dua pingat perak dalam satu pertandingan di Singapura, sesuatu yang tidak dijangkakannya sendiri.

Image from: Danisha atlet gimrama Kelantan
Aksi Danisha semasa melakukan aksi gimrama dalam satu kejohanan di negara ini baru-baru ini.

“Orang nampak beberapa minit di podium, tetapi di sebaliknya ada latihan bertahun-tahun dan hari-hari yang bukan mudah,” katanya.

Walaupun kejayaan sering menjadi perhatian, Danisha juga pernah melalui fasa kemerosotan prestasi dan berasa gementar ketika menghadapi pertandingan besar.

Baginya, tekanan bukan hanya datang daripada orang lain, malah boleh berpunca daripada harapan yang diletakkan terhadap diri sendiri.

Justeru, dia belajar mengawal pernafasan, memberikan tumpuan kepada satu pergerakan pada satu masa dan mempercayai latihan yang telah dilakukan.

Kesilapan pula cuba dijadikan pengajaran, bukannya alasan untuk terus menyalahkan diri.

“Saya nak remaja tahu bahawa satu kegagalan tidak menentukan masa depan kita. Kita masih boleh belajar, membaiki diri dan mencuba lagi,” katanya.

Di sebalik komitmen terhadap sukan, Danisha turut mengakui pernah berasa tertinggal apabila tidak dapat menyertai aktiviti bersama rakan-rakan kerana latihan dan pertandingan.

Namun, gimnastik juga memberikannya persahabatan, pengalaman dan peluang melihat dunia yang mungkin tidak diperoleh dengan cara lain.

Kini, pelajar sekolah Convent Bukit Nanas itu perlu memberikan tumpuan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keputusan tersebut turut menyebabkan dia terpaksa melepaskan peluang menyertai World Championships di Osaka.

Walaupun berat hati, Danisha melihat pelajaran sebagai tanggungjawab penting yang tidak boleh diabaikan.

“Memilih SPM bukan bermaksud saya menyerah pada impian sukan.

“Danisha cuma sedang memberi ruang kepada satu lagi tanggungjawab yang penting,” katanya.

Selepas SPM, Danisha berhasrat meneruskan perjalanan sebagai atlet dan berusaha mewakili Malaysia dalam kejohanan besar termasuk Sukan SEA dan Sukan Komanwel, sekiranya terdapat peluang serta acara yang sesuai.

Lebih daripada sekadar mengejar kemenangan, Danisha berharap perjalanannya dapat menjadi inspirasi kepada kanak-kanak lain, khususnya mereka yang datang dari tempat yang jauh daripada tumpuan.

“Asal-usul kita tidak menentukan sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.

Buat remaja yang sedang mengejar impian masing-masing, Danisha berpesan supaya tidak mudah berputus asa hanya kerana perjalanan terasa perlahan.

Setiap usaha kecil tetap mempunyai makna.

“Hargai mereka yang sentiasa menyokong, jangan abaikan pelajaran dan terus berani mencuba kerana kejayaan bukan semata-mata tentang pingat, tetapi juga tentang keberanian untuk bangkit dan meneruskan perjalanan,” ujarnya.

The post Danisha atlet gimrama Kelantan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved