DAP desak penubuhan RCI siasat isu 'mafia korporat', dakwaan salah guna kuasa SPRM

LocalPolitics
24 Apr 2026 • 4:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DAP desak penubuhan RCI siasat isu 'mafia korporat', dakwaan salah guna kuasa SPRM
Yeo Bee Yin

SHAH ALAM - DAP menggesa kerajaan untuk segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan pembabitan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam aktiviti 'mafia korporat'.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berkata, langkah itu penting bagi menangani dakwaan berlakunya pengambilalihan korporat secara paksa yang difasilitasi oleh kepentingan swasta dengan kerjasama oknum penguat kuasa.

Beliau menegaskan bahawa isu tersebut merupakan "gajah dalam bilik" yang boleh mencetuskan krisis keyakinan dalam kalangan pelabur dan komuniti perniagaan jika tidak ditangani dengan telus.

Bee Yin menjelaskan, integriti agensi penguatkuasaan negara perlu berada pada tahap tertinggi, selari dengan prinsip "lebih putih daripada putih".

"DAP mengulangi tuntutan untuk menubuhkan RCI seperti yang ditekankan oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook dan Pengerusi Kebangsaan, Gobind Singh Deo.

"Kita berisiko menjejaskan usaha menarik pelaburan bernilai tinggi jika integriti negara terus dipersoal," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebagai langkah jangka panjang, beliau mencadangkan agar Akta SPRM 2009 diperkukuh dengan mencontohi model Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong dipantau empat jawatankuasa bebas merangkumi sektor perundangan, perniagaan, dan akademik.

Antara jawatankuasa tersebut termasuk Jawatankuasa Penasihat Mengenai Rasuah, Jawatankuasa Semakan Operasi, Jawatankuasa Penasihat Pencegahan Rasuah dan Jawatankuasa Penasihat Rakyat mengenai Hubungan Komuniti.

Selain itu, Bee Yin mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Aduan bebas serta pelibatan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam proses pelantikan dan penyingkiran Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi memastikan akauntabiliti kepada wakil rakyat, bukan sekadar kepada pihak Eksekutif.

Mengulas mengenai himpunan "Tangkap Azam Baki" yang dijadualkan berlangsung esok, beliau menyifatkan ia sebagai isyarat jelas rakyat yang menuntut reformasi sistemik dan akauntabiliti.

"Kerajaan Perpaduan perlu memberi respons terhadap himpunan ini bukan dengan kekerasan, tetapi dengan komitmen teguh terhadap reformasi undang-undang yang telah dijanjikan.

"Visi Malaysia Madani tidak boleh wujud seiring dengan budaya penguatkuasaan yang terdedah kepada penyalahgunaan kuasa," ujarnya lagi.