SPRM sahkan terima aduan dakwaan transaksi kewangan libat bekas menteri

LocalPolitics
10 Apr 2026 • 9:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai NGO lapor SPRM susulan dakwaan transaksi kewangan libat bekas menteri.

SHAH ALAM- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima aduan rasmi daripada Sekretariat Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) berhubung dakwaan transaksi kewangan berjumlah RM500,000 yang dikaitkan dengan seorang bekas menteri melibatkan projek mesin layan diri.

Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik SPRM, Hisyam Mohd Yusoff berkata, pihaknya telah menerima aduan dan dokumen berkenaan sekitar jam 12.30 tengah hari Jumaat.

“SPRM telah menerima dokumen berkaitan dan akan menelitinya untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ketua Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embon menyerahkan laporan berkenaan bagi membolehkan SPRM menyiasat dakwaan skandal mesin layan diri yang didedahkan oleh sebuah portal baru-baru ini.

Tegasnya, laporan tersebut bukan bermotifkan serangan peribadi terhadap mana-mana pihak, sebaliknya dibuat atas dasar kepentingan awam dan integriti pentadbiran negara.

Sebelum ini, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan beliau menerima rasuah sebanyak RM500,000 daripada pemilik NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin bagi tujuan melanjutkan kontrak syarikat tersebut pada 2023.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, dakwaan yang dibuat sebuah blog tidak terkenal itu hanyalah tuduhan liar yang mana garis masa yang dinyatakan adalah tidak selari dengan realiti semasa pada ketika itu.

Bekas Menteri Ekonomi itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa Abu Hanifah atau sesiapa dari NexG seumur hidupnya selain tidak kenal ‘watak utama’ pencitraan di dalam blog berkenaan iaitu Mohd Harizan Haris dari syarikat GFIS Sdn Bhd.