
KUALA LUMPUR: Perwakilan yang akan menghadiri Persidangan Kebangsaan DAP hujung minggu ini dijangka membuat keputusan supaya kekal berada dalam kerajaan.
Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, P. Gunasekaren berkata, tindakan keluar daripada kerajaan bukanlah keputusan yang bijak apatah ketika Pakatan Harapan (PH) berdepan ketidaktentuan politik.
“Kami memang hendak kekal sebab sekarang ini kerajaan sedang ada masalah dan kalau kita keluar meninggalkan rakan gabungan, ia tidak baik.
“Jadi saya dan beberapa perwakilan lain berharap kerjasama ini diteruskan sehingga ke akhir penggal.
“Saya yakin Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) berfikir pada perkara yang sama iaitu untuk kekal dalam kerajaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebelum ini, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, seramai 4,264 perwakilan DAP bakal menentukan hala tuju parti itu dalam kerajaan Persekutuan pada persidangan tahunan parti itu, 16 Ogos ini.
Gunasekaren dalam pada itu mengakui, memang ada beberapa pihak yang tidak bersetuju supaya DAP kekal berada dalam kerajaan.
Ia atas alasan imej DAP perlu dipulihkan kerana banyak ‘kerosakan’ yang didakwa berlaku ketika PH memimpin kerajaan hari ini.
“Itu biasalah cerita kedai kopi, ada juga perwakilan yang tidak bersetuju, tetapi pada saya kita perlu jelaskan apa sebab dan alasan kita mesti kekal dalam kerajaan.
“Saya tidak rasakan kerjasama UMNO-Barisan Nasional (BN) kekal lama dengan Pas, sebab itu kita perlu terus bersama dalam kerajaan,” katanya.
Pada masa yang sama, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, apa sahaja keputusan yang dibuat oleh perwakilan pada 16 Ogos ini, DAP akan tetap menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.
“DAP tidak merasakan parti itu liabiliti dalam kerajaan perpaduan meskipun bertindak untuk mempertimbang sama ada keluar atau tidak dari kabinet 16 Ogos ini.
“Ini memang keputusan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sejurus selepas PRN Sabah yang mana DAP gagal menang walau satu kerusi pun,” katanya.
Sementara itu, Jawatankuasa DAP Perak sebulat suara mahu parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa bagi memastikan mandat rakyat dapat ditunaikan.
DAP Perak memaklumkan, ketetapan itu dibuat selepas seluruh jawatankuasa bersetuju menggerakkan jentera parti bagi melaksanakan janji pilihan raya, mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan agenda reformasi.
Menurutnya, parti perlu terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi kerja supaya tidak menghampakan harapan rakyat. – UTUSAN
The post DAP dijangka kekal dalam kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.






