Seramai 4,264 perwakilan daripada 1,704 cawangan DAP akan diberi mandat menentukan pendirian parti itu sama ada terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan atau sebaliknya pada persidangan tahunan parti berkenaan, 16 Ogos ini.
Menurut laporan Utusan Malaysia, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata, keputusan itu akan dibuat menerusi pengundian secara rahsia oleh semua perwakilan yang layak hadir pada persidangan berkenaan.
Poay Tiong berkata, usul berkaitan kedudukan DAP dalam Kerajaan Persekutuan akan dibawa Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk dibahaskan sebelum perwakilan membuat keputusan.
“Kami akan menyerahkan kepada semua perwakilan yang hadir untuk membuat keputusan sama ada akan kekal dalam Kerajaan Persekutuan ataupun akan keluar.
“Kami tidak akan menggunakan cara pengundian melalui suara ataupun angkat tangan tetapi setiap perwakilan akan diberikan kertas undi untuk mereka membuat keputusan dan pengundian mereka adalah secara rahsia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Ahli Parlimen Kota Melaka itu berkata, jumlah perwakilan berkenaan adalah berdasarkan senarai kelayakan bagi 2025, memandangkan proses pemilihan perwakilan terbaharu hanya selesai selepas semua mesyuarat agung tahunan (AGM) cawangan DAP pada pertengahan Jun lalu.
“Seramai 4,264 perwakilan tersebut adalah berdasarkan kepada senarai layak pada 2025, kenapa kita tidak gunakan yang tahun ini adalah kerana semua AGM cawangan DAP baru selesai pada pertengahan Jun lalu.
“Jadi senarai nama yang terbaharu tidak dapat disediakan. Maka kita gunakan qualify list pada tahun 2025. Semua perwakilan ini adalah dipilih oleh setiap cawangan, mereka akan mewakili cawangan tersebut sebagai perwakilan di persidangan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, proses pengundian dijangka mengambil masa kira-kira dua jam selepas sesi perbahasan selesai.
“Kami akan pastikan semua perwakilan yang hadir akan diberi peluang dan diberikan kertas undi untuk mereka buat keputusan kami jangka, dua jam.
“Seandainya terlalu ramai tidak boleh habis atau ada apa-apa keadaan, kami akan memudahkan proses untuk memastikan semua perwakilan yang hadir akan dapat kertas undi untuk membuat keputusan,” jelasnya lagi.
Persidangan tahunan itu turut menjadi acara penting buat DAP bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan parti, selain membincangkan pelbagai isu berkaitan kedudukan dan hala tuju parti di peringkat Persekutuan menjelang PRU16.
Sumber: Utusan Malaysia (Arif Aiman Asrol)






