DAP Perak mahu parti kekal dalam kerajaan

LocalPolitics
12 Aug 2026 • 4:27 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: DAP Perak mahu parti kekal dalam kerajaan

PETALING JAYA: Jawatankuasa DAP Perak sebulat suara mahu parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa bagi memastikan mandat rakyat dapat ditunaikan.

DAP Perak memaklumkan, ketetapan itu dibuat selepas seluruh jawatankuasa bersetuju menggerakkan jentera parti bagi melaksanakan janji pilihan raya, mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan agenda reformasi.

Menurutnya, parti perlu terus membuktikan kemampuan melalui pencapaian dan prestasi kerja supaya tidak menghampakan harapan rakyat.

“Dengan kekal berada dalam kerajaan, kita dapat terus melaksanakan manifesto Pakatan Harapan (PH), termasuk reformasi institusi, kebebasan badan kehakiman, usaha membanteras rasuah, mengurangkan kos sara hidup, pembaharuan sistem pendapatan negara serta menjamin hak dan kebebasan masyarakat berbilang kaum.

“Semua dasar ini perlu dilaksanakan sepenuhnya dalam tempoh penggal pentadbiran ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, keberadaan parti dalam kerajaan memberikan kuasa dan suara dalam proses membuat keputusan.

Katanya, keadaan itu membolehkan DAP menggerakkan reformasi, menunaikan janji pilihan raya dan memacu pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, menggembleng seluruh kekuatan untuk menunaikan mandat rakyat sambil kekal berpegang pada aspirasi perjuangan ‘Malaysia untuk rakyat Malaysia’ merupakan pendirian yang diputuskan sebulat suara oleh DAP Perak,” katanya.

DAP Perak menegaskan, parti perlu kekal dalam Kerajaan Perpaduan bagi mengimbangi dan menghalang kuasa ekstrem daripada terus berkembang.

Katanya, keberadaan DAP dalam kerajaan penting untuk memastikan hala tuju politik negara terus membela perpaduan serta mempertahankan keharmonian masyarakat berbilang kaum.

“Ketika Perikatan Nasional (PN) dan Pas terus memainkan isu perkauman dan menunggang agama untuk mencetuskan perpecahan antara masyarakat berbilang kaum serta menggugat keharmonian negara.

“Keberadaan DAP akan memastikan hala tuju politik negara membela perpaduan dan mempertahankan keharmonian tidak digugat,” katanya.

Tambahnya, pengalaman pertukaran empat Perdana Menteri dalam tempoh tujuh tahun lalu tidak boleh berulang kerana ketidakstabilan politik telah menjejaskan ekonomi dan keyakinan pelabur.

“Oleh itu, DAP sama sekali tidak boleh mengecewakan mandat yang diberikan oleh rakyat.

“Parti mesti memikul tanggungjawab untuk terus kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal bagi mengekalkan kestabilan politik, melaksanakan reformasi, membuktikan pencapaian dan meraih semula keyakinan rakyat,” katanya.

Persidangan Kebangsaan DAP 2026 dijadual berlangsung Ahad ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan 4,264 perwakilan pusat akan mengundi bagi menentukan sama ada parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa. –UTUSAN

The post DAP Perak mahu parti kekal dalam kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved