Keputusan pengampunan bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak nampaknya turut membuka ruang perbincangan besar dalam DAP.
Parti itu akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Sabtu bagi menentukan pendirian serta langkah susulan selepas bekas Perdana Menteri itu dibenarkan menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
DAP mahu tentukan langkah seterusnya

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keputusan itu perlu dibincangkan di peringkat kepimpinan pusat sebelum parti menetapkan pendirian rasmi.
Sehubungan itu, satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan diadakan esok untuk membincang dan memutuskan pendirian dan tindakan susulan parti.- Katanya.
Najib diberikan pengampunan bersyarat yang membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Pada masa sama, Loke menegaskan DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Isu 1MDB masih jadi perhatian

Dalam kenyataan sama, Loke kembali menegaskan pendirian DAP berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menurutnya memberi kesan besar kepada negara.
Sabitan terhadap Datuk Seri Najib dalam kes membabitkan 1MDB adalah kesalahan yang sudah diputuskan oleh mahkamah serta kesannya terhadap negara tidak boleh dilupakan.- Katanya.
Beliau turut merujuk angka Kementerian Kewangan yang menyatakan keseluruhan obligasi 1MDB ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, termasuk RM42.5 bilion yang sudah dibayar dan baki hutang RM8.9 bilion.
Loke berkata, DAP akan terus berpegang kepada prinsip keadilan, akauntabiliti, kedaulatan undang-undang dan usaha menentang rasuah.
Beliau turut mempertahankan peranan Hannah Yeoh sebagai anggota Lembaga Pengampunan dengan menyatakan pandangan yang dibawanya selaras dengan prinsip perjuangan parti dan disampaikan demi kepentingan negara.
The post DAP Panggil Mesyuarat CEC, Bincang Pendirian Isu Tahanan Rumah Najib appeared first on Oh! Media.




