
PETALING JAYA: Keputusan Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah disifatkan amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga beliau, malah seluruh keluarga besar Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, BN menyambut perkhabaran itu dengan penuh rasa syukur, selain menghormati segala syarat dan proses yang telah ditetapkan.
“Keputusan ini amat besar maknanya kepada Datuk Seri Najib dan keluarga beliau, malah kepada seluruh keluarga besar Barisan Nasional yang sentiasa menitipkan doa dan mengharapkan agar segala urusan beliau diberi kelancaran.
“Barisan Nasional berpendirian bahawa proses permohonan berkaitan perkara ini telah disampaikan dengan penuh tertib, melalui saluran yang sah, dengan menghormati institusi Yang DiPertuan Agong, Raja-Raja Melayu, keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan.
Zambry berkata, seluruh pimpinan Dewan Tertinggi BN termasuk Pengerusi BN serta parti komponen dan Friends of BN turut merafak sembah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, atas limpah perkenan Tuanku menzahirkan keputusan Lembaga Pengampunan yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman melalui tahanan di rumah.
“Dalam menelusuri perkembangan ini, BN akan terus berpegang teguh pada prinsip Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen dan kedaulatan undang-undang yang menjadi tunjang keamanan, kestabilan serta kemakmuran negara,” katanya.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memperkenan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. – UTUSAN
The post Pengampunan bersyarat Najib cukup bermakna buat keluarga besar BN appeared first on Utusan Malaysia.




