
SUBANG JAYA – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin DAP akan menggunakan kebijaksanaan dalam menentukan pendirian parti itu, khususnya membabitkan kepentingan negara dan kestabilan politik.
Menurutnya, DAP sebagai sebuah parti yang sudah lama bertapak dalam politik negara tentunya akan mengambil kira keperluan mengekalkan suasana politik yang stabil.
“Saya percaya kepimpinan DAP ada kebijaksanaan mereka, sebagai sebuah parti yang sangat established (sudah bertpak) sudah sekian lama. DAP tentunya akan meletakkan kepentingan negara dari segi kestabilan politik dan juga menerusan tentang keadaan yang sudah pun sedia berjalan baik,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Helikopter A189 di Stesen Udara Maritim Subang, hari ini.
Mengulas sama ada DAP telah memberi sebarang taklimat kepada kerajaan berhubung perkara itu, Saifuddin berkata, perkara tersebut bukan tanggungjawab parti berkenaan.
“Tidak menjadi tanggungjawab DAP untuk memberi taklimat kepada Pakatan Harapan bagi membuat keputusan sesuai dengan dasar dan pendekatan politik mereka,” katanya.
DAP dijadual mengadakan kongres kebangsaan khas pada 16 Ogos ini bagi memberi suara kepada lebih 4,200 perwakilan dari seluruh negara menentukan hala tuju parti tersebut. – KOSMO! ONLINE
The post DAP parti lama, tentunya akan guna kebijaksanaan mereka – Saifuddin appeared first on Kosmo Digital.






