
PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) belum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan akan menjalin kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya dalam pilihan raya.
Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa perkara itu belum dibincangkan di peringkat parti ketika ini.
“Pada waktu ini, peringkat pimpinan belum membincangkan perkara itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Penajaan oleh Rakan Strategik Program Sambutan Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, PH sentiasa terbuka dalam menjalinkan kerjasama atau sebarang persefahaman dengan parti atau gabungan politik termasuk dengan Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.
Amirudin yang juga Naib Presiden PKR berkata, kerjasama itu perlu berasaskan prinsip kestabilan politik dan kepentingan rakyat.
Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Ramkarpal Singh dilaporkan berkata, kerjasama antara DAP dan parti pembangkang terutama Pas tidak mungkin berlaku.
Beliau menyifatkan tuduhan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya DAP sebagai anti-Islam sebagai tidak berasas dan menjadi sebab kedua-dua parti itu sukar bekerjasama. – UTUSAN
The post PH belum bincang kemungkinan kerjasama politik dengan Bersatu appeared first on Utusan Malaysia.






