SHAH ALAM - Perwakilan DAP yang bakal mengundi pada Persidangan Parti yang dijadualkan pada Ahad digesa agar membuat pertimbangan secara rasional dan tidak mengikut emosi berhubung cadangan untuk membiarkan parti itu keluar daripada kerajaan.
Pengarah Pendidikan Politik DAP Malaysia, Howard Lee Chuan How berkata, sejarah politik antarabangsa menunjukkan tindakan meninggalkan kerajaan secara terburu-buru demi mempertahankan kedudukan parti sering kali memberikan kesan sebaliknya atau 'makan tuan'.
Beliau mengambil contoh Belgium pada 2018, di mana parti nasionalis N-VA bertindak keluar daripada kerajaan persekutuan akibat tekanan dalaman dan desakan parti lawan berhubung Isu Pact Migrasi PBB.
Walaupun berharap dapat memulihkan sokongan, parti itu sebaliknya merosot daripada 33 kerusi kepada 25 kerusi pada pilihan raya berikutnya, manakala pesaingnya, Vlaams Belang, melonjak daripada tiga kepada 18 kerusi.
"Corak sama turut berlaku di Belanda apabila Geert Wilders menjatuhkan kerajaan pada 2025 berhubung dasar suaka, namun parti PVV merosot daripada 37 kepada 26 kerusi.
"Di Bulgaria, parti There Is Such a People (ITN) yang mempunyai 25 ahli Parlimen gagal melepasi ambang pilihan raya dan hilang terus dari Parlimen selepas membantu menjatuhkan kerajaan pada 2022.
"Manakala di Slovakia, parti Freedom and Solidarity (SaS) menyaksikan kerusi mereka berkurang separuh daripada 22 kepada 11 selepas menjatuhkan kerajaan campuran pada 2011," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Howard menjelaskan, contoh-contoh berkenaan memusnahkan andaian bahawa tindakan keluar daripada kerajaan secara automatik akan memulihkan kredibiliti atau memadamkan rekod kompromi ketika berkuasa.
Mengulas lanjut, Howard mengakui wujud rasa tidak puas hati dan kekecewaan berhubung beberapa pembaharuan yang belum selesai serta keputusan tidak popular.
Namun, beliau menegaskan undian pada Ahad ini bukan satu referendum untuk mengukur tahap kemarahan parti.
"Satu parti tidak boleh meletak jawatan daripada kerajaan lalu memadam rekodnya begitu sahaja.
"Ia berisiko terus dipersalahkan atas kepincangan lalu, sambil turut dipikul tanggungjawab atas ketidakstabilan yang berlaku selepas itu," katanya.
Sehubungan itu, beliau memuji pendekatan kepimpinan parti membawa perkara berkenaan untuk diputuskan oleh perwakilan melalui undi sulit secara matang dan rational, berbanding membuat keputusan secara emosi.
Menurut Howard, pilihan DAP bukannya sekadar kekal tanpa syarat atau menarik diri serta-merta. Sebaliknya, parti itu boleh menetapkan syarat, tempoh masa, serta menuntut pembaharuan khusus yang boleh diukur pelaksanaannya.
"Jika pengunduran akhirnya diperlukan, rakyat harus memahami sebabnya terlebih dahulu sebelum surat peletakan jawatan ditulis. Hujah politik itu sepatutnya sudah dimenangi.
"Persoalan pada 16 Ogos ini bukan sama ada kita ada alasan untuk marah, tetapi sama ada tindakan keluar akan memajukan pembaharuan atau sebenarnya memberikan apa yang ditunggu-tunggu oleh pihak lawan untuk melemahkan DAP," katanya.
Menurutnya, kuasa bukanlah matlamat, namun menyerahkan kuasa juga tidak secara automatik menjadi satu prinsip.
"Ada kalanya keberanian bermaksud terus berada di meja rundingan sehingga kerja diselesaikan," tambahnya yang turut menyeru perwakilan mengundi dengan fikiran yang jelas dan berstrategi.






