DAP perlu undi keluar kerajaan untuk tekan PM laksana reformasi - Kian Ming

LocalPolitics
14 Aug 2026 • 2:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: DAP perlu undi keluar kerajaan untuk tekan PM laksana reformasi - Kian Ming
Anwar Ibrahim dan Dr Ong Kian Ming

SHAH ALAM - Perwakilan yang layak mengundi pada Kongres Khas DAP perlu memilih untuk 'keluar' daripada Kerajaan Perpaduan sebagai langkah memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya melaksanakan sekurang-kurangnya sebahagian reformasi politik sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming berkata, tindakan itu merupakan satu-satunya sebab utama untuk perwakilan mengundi supaya pemimpin parti meletakkan jawatan daripada Kabinet.

"Perdana Menteri hanya akan bertindak balas apabila tekanan kuat diberikan kepadanya, sama ada oleh individu, sekumpulan orang, organisasi mahupun keadaan politik tertentu.

"Inilah niat asal Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, memanggil Kongres Khas ini iaitu untuk mengingatkan Perdana Menteri bahawa para perwakilan DAP mempunyai kuasa untuk memaksa pemimpin parti meletakkan jawatan daripada Kabinet dan menggunakan pengaruh tersebut untuk memberi tekanan supaya menunaikan sebahagian daripada janji manifesto Pakatan Harapan (PH) sebelum berakhirnya sesi Parlimen ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Anthony sebelum ini dilapor berkata perwakilan DAP akan menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan pada persidangan Ahad ini dengan usul mengenai perkara itu akan dibentangkan kepada hampir 4,000 perwakilan sebelum diputuskan.

Ia juga antara lain akan menentukan hala tuju DAP dalam arena politik tanah air secara kolektif.

Dalam pada itu Kian Ming menegaskan, keputusan perwakilan DAP menjadi lebih penting susulan beberapa perkembangan politik terkini yang didakwa bercanggah dengan agenda reformasi asal PH antaranya, tiada tindakan lanjut terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, sekatan peruntukan Parlimen bagi Ahli Parlimen PKR yang dilihat menyokong bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli serta penahanan dua blogger, Bryan Kong dan Shamsul Saad baru-baru ini.

"Beliau (Anwar) akan menganggapnya sebagai isyarat bahawa para perwakilan DAP bersedia untuk terus menyokongnya sehingga tamat penggal Parlimen ini, walaupun tidak melaksanakan sebarang reformasi politik substantif dari sekarang sehingga Parlimen dibubarkan.

"Tidak kira apa sahaja ucapan yang dibuat perwakilan atau tuntutan dikemukakan pemimpin dalam Kongres Khas ini mahupun melalui media sosial, sebarang pengaruh yang mungkin dimiliki DAP terhadap Anwar akan hilang pada saat majoriti perwakilan mengundi 'kekal' dalam Kabinet," ujarnya.

Sementara itu Kian Ming mengakui terdapat beberapa alasan munasabah untuk DAP kekal dalam Kabinet antaranya memastikan pembentangan dan perbahasan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini dapat berjalan dengan lancar serta tidak mahu memberi peluang kepada Barisan Nasioanl (BN) / UMNO untuk menarik sokongan daripada kerajaan sehingga boleh mencetuskan pilihan raya umum lebih awal.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya perwakilan memilih 'keluar', pemimpin DAP masih boleh menentukan masa paling sesuai untuk anggota Kabinet daripada parti itu meletakkan jawatan.

"Mereka boleh mencapai persetujuan dengan Anwar bahawa peletakan jawatan hanya akan dibuat selepas Belanjawan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada Disember 2026.

"Mereka juga boleh berunding dengan Anwar supaya beberapa perubahan perundangan penting diluluskan dalam sesi Parlimen ini, termasuk had tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun serta Akta Peruntukan Parlimen yang sama rata.

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved