
BUKIT MERTAJAM : DAP perlu bermuhasabah serta mengambil pengajaran daripada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan untuk membuat perancangan yang lebih baik pada masa hadapan.
Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim Chee Keong berkata, dalam hal ini, banyak pengajaran yang boleh dipelajari daripada setiap pilihan raya yang berlaku.
Steven berkata, sebagai contoh, PRN Negeri Sembilan bukan satu pertandingan yang mudah dan mereka memang telah menyedari cabaran yang akan dihadapi dalam pilihan raya itu sejak hari pertama berkempen.
“Tetapi, saya ingin katakan bahawa DAP amat berbangga dengan kepimpinan berani saudara Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) yang telah mengepalai perjuangan ini di Negeri Sembilan sehingga akhirnya kita berjaya mempertahankan sembilan kerusi (daripada 11 yang ditandingi),” katanya.
Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi ditemui pemberita ketika turun padang merasmikan Program Jualan MADANI KUSKOP (JMK) 2026. Hadir sama, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah.
Sementara itu, mengulas mengenai situasi DAP di Pulau Pinang ketika ini, Steven berkata, arahan beliau tetap sama dari peringkat awal iaitu mesti bekerja keras untuk mempertahankan kepercayaan serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.
“Bagi saya, kempen pilihan raya tidak bermula apabila DUN (Dewan Undangan Negeri) atau Parlimen dibubarkan dan saya selalu menegaskan bahawa kerja kita bermula sehari selepas pilihan raya yang lepas.
“Maksudnya, sesiapa yang menang wajib, harus dan mesti bekerja keras di lapangan. Tiada kompromi, tiada alasan. Mesti turun padang dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
“Bagi mereka yang tidak menang pula, kita perlu mempergiatkan usaha untuk memenangi semula kepercayaan rakyat,” kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu lagi.-UTUSAN
The post ‘DAP perlu muhasabah, ambil pengajaran daripada keputusan PRN Negeri Sembilan’ appeared first on Utusan Malaysia.





