
PUTRAJAYA: DAP membuat keputusan untuk kekal berada di dalam Kerajaan Persekutuan selepas majoriti perwakilan dalam Persidangan DAP 2026 semalam mahu parti itu meneruskan usahanya melaksanakan janji reformasi sehingga tamat penggal.
Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu menerima kehadiran 2,223 perwakilan iaitu 52.1 peratus yang layak hadir dari seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, 2,106 kertas undi dikeluarkan dan 1,857 perwakilan mengundi supaya DAP kekal di dalam kerajaan, 242 perwakilan mengundi supaya keluar dan tujuh kertas undi rosak.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan tersebut menunjukkan bahawa majoriti besar perwakilan iaitu hampir 88 peratus mengundi untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat tempoh.
Kata beliau, Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti menganggap keputusan itu sebagai mandat untuk terus berada di dalam kerajaan, berkhidmat dan meneruskan agenda reformasi.
“Ini supaya kita dapat memberikan fokus dan tumpuan untuk melaksanakan perubahan-perubahan dan janji-janji yang telah pun kita janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan (PH).
“Jadi ini adalah satu tanggungjawab dan mandat yang telah pun diberikan oleh perwakilan kepada kita di peringkat kepemimpinan,” katanya dalam sidang akhbar selepas persidangan berkenaan semalam.
Dalam pada itu, Anthony Loke menepis tanggapan bahawa separuh daripada lebih 4,000 perwakilan yang tidak hadir adalah merupakan tanda protes.
Katanya, perwakilan DAP adalah daripada akar umbi yang mempunyai pelbagai kekangan untuk hadir ke persidangan dan mengundi.
“Kalau ada pemilihan pun, biasanya hampir dalam 70 peratus sahaja yang hadir. Ia boleh dianggap sangat tinggi dalam persidangan ini yang tidak mempunyai pemilihan.
“Kita punya perwakilan ini bukannya tauke-tauke besar, bos-bos besar. Mereka daripada akar umbi,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, DAP tidak mempunyai agenda untuk menjadikan persidangan ini sebagai desakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami tahu musuh-musuh politik kata kami hendak gunakan konvensyen ini atau persidangan ini untuk menekan Perdana Menteri dengan agenda DAP.
“Agenda DAP adalah agenda yang dipersetujui bersama dalam PH dan dipersetujui bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
“Jadi ada beberapa reformasi yang telah pun dipersetujui yang kami harap dapat dilaksanakan dengan segera bukan saja di peringkat PH malah di peringkat Kabinet seperti pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya,” katanya.
Menjawab mengenai sama ada DAP menetapkan garis masa mengenai tuntutan yang dibangkitkan, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, perincian khusus akan diumumkan selepas berbincang dengan Anwar.
“Semalam Perdana Menteri telah memberikan garis masa, beliau menyebut bahawa pada 30 Ogos ini, beliau akan ada satu pengumuman penting sebelum Hari Kebangsaan, diikuti Hari Malaysia 16 September dan diikuti awal Oktober dalam pembentangan belanjawan.
“Jadi saya rasa kita kena berikan ruang secara dalaman kepada Perdana Menteri. Sudah tentu kita tidak boleh bincang segalanya melalui media, secara terbuka,” katanya.
The post DAP pilih kekal dalam kerajaan appeared first on Utusan Malaysia.





