Rafizi perlu hormati keputusan DAP, perwakilan – Kon Yeow

LocalPolitics
17 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Rafizi perlu hormati keputusan DAP, perwakilan – Kon Yeow

GEORGE TOWN : Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Datuk Seri Rafizi Ramli diminta supaya menghormati keputusan DAP dan perwakilan parti itu untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut adalah asas yang perlu dihormati selepas Rafizi mengulas mengenai pendirian serta keputusan yang dicapai pada Persidangan DAP di Putrajaya, semalam.

“Kita minta dia (Rafizi) menghormati DAP dan keputusan yang dibuat oleh perwakilan. Itu perkara asas, bukankah begitu?” soal Kon Yeow ketika sidang akhbar selepas merasmikan program publisiti dan penyertaan awam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2040 (RSN Pulau Pinang 2040) di sini, hari ini.

Semalam, Rafizi ketika berucap sempena program Jelajah parti Bersama di Pulau Pinang mendakwa, keputusan DAP untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sudah dijangka kerana agak sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah ‘menikmati’ kuasa melepaskannya begitu sahaja.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan kadar kehadiran yang rendah pada persidangan tersebut, Kon Yeow yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, perkara itu bagaimanapun tidak menjejaskan persidangan berkenaan kerana ia masih memenuhi syarat korum yang ditetapkan parti.

“Kita mempunyai korum tertentu untuk memastikan persidangan berjaya diadakan iaitu sebanyak 25 peratus daripada perwakilan yang layak. Kita mempunyai lebih 50 peratus dan memenuhi syarat korum.

“Kadar kehadiran dalam pemilihan parti lazimnya sekitar 60 hingga 70 peratus manakala kadar keluar mengundi dalam pilihan raya umum juga tidak semestinya mencapai jumlah penuh. Jadi, adakah pilihan raya umum kita tidak sah kerana hanya 65 peratus yang keluar mengundi? Tidak,” katanya.

Mengulas kenyataan Rafizi mengenai Pulau Pinang yang dikatakan berdepan masalah kekurangan tanah sehingga memberi kesan kepada hasil negeri berbanding negeri lain seperti Johor, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sentiasa mempunyai perancangan berkaitan pembangunan tanah.

Selain itu, katanya, Pulau Pinang juga sentiasa berusaha untuk memaksimumkan penggunaan tanah sedia ada bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan memberi impak tertinggi kepada negeri dengan mengambil kira kekuatan serta kekangan negeri ini.-UTUSAN

The post Rafizi perlu hormati keputusan DAP, perwakilan – Kon Yeow appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved