JOHOR BAHRU – Sokongan majoriti besar perwakilan DAP untuk parti itu kekal dalam Kerajaan Perpaduan perlu disusuli usaha lebih agresif dalam memperjuangkan reformasi dan perubahan dasar.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, keputusan 1,857 perwakilan atau 88.2 peratus undi sah yang menyokong usul berkenaan tidak boleh ditafsirkan sebagai pemberian ‘cek kosong’ kepada kepimpinan DAP untuk terus berada dalam kerajaan tanpa penilaian terhadap prestasi parti.
Menurutnya, mandat itu sebaliknya perlu diterjemahkan kepada usaha memperkukuh peranan DAP dari dalam kerajaan, khususnya dalam memastikan agenda reformasi yang diperjuangkan parti dapat direalisasikan.
“Sepanjang perbahasan, persoalan prestasi dan kemampuan DAP untuk berperanan merealisasikan reformasi menjadi topik penting.
“Jadi, kedudukan DAP selepas ini lebih tepat difahami sebagai kekal dalam kerajaan tetapi melipat gandakan usaha demi perubahan dasar,” katanya dalam kenyataan.
Pada Ahad, ketika Persidangan DAP 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), DAP memutuskan untuk terus kekal dalam Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat tempoh penggal Parlimen.
Dalam pada itu Sheikh Umar berkata, keputusan berkenaan turut menjadi penegasan semula mandat ahli kepada kepimpinan DAP susulan desakan yang wujud selepas tiga pilihan raya negeri supaya parti itu menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Madani.
Jelas beliau, keputusan tersebut memberikan mesej jelas bahawa ahli mahu DAP meneruskan perjuangan dari dalam kerajaan dan menggunakan kedudukan yang ada untuk membawa perubahan.
"Sokongan 88.2 peratus juga menunjukkan keputusan yang kukuh selepas timbul spekulasi bahawa DAP mungkin menarik diri daripada Kerajaan Persekutuan.
“Ini penting kerana sebelum persidangan terdapat spekulasi bahawa DAP mungkin menarik diri daripada kerajaan. Namun hampir sembilan daripada setiap 10 undi sah memilih untuk kekal,” katanya.
Dalam pada itu, Sheikh Umar berkata, keputusan berkenaan turut mengukuhkan kestabilan Kerajaan Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen dan keputusan itu mencerminkan pengukuhan struktur sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan selain mengurangkan ketidaktentuan mengenai kemungkinan perubahan politik sebelum PRU akan datang.
“1,857 bukan sekadar angka kemenangan satu usul semata-mata, tetapi mandat besar perwakilan supaya DAP terus berada dalam Kerajaan Persekutuan, menggunakan amanah kuasa yang ada untuk melaksanakan reformasi serta kekal mempertahankan prinsip parti, kepentingan rakyat dan Malaysia,” katanya.






