
GEORGE TOWN - Wakil DAP Pulau Pinang pada Sabtu membuat laporan polis berhubung kenyataan berbau perkauman, oleh penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid berkata, pihaknya mahu polis menjalankan siasatan terhadap Tajudin, kerana kenyataannya disifatkan sebagai menyentuh sentimen perkauman.
"Penyandang Parlimen Pasir Salak itu dalam wawancara tersebut, telah membuat beberapa dakwaan dan kenyataan yang palsu malah menyentuh sentimen perkauman, yang boleh menimbulkan kemarahan orang ramai,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis bersama penyandang Parlimen Jelutong, RSN Rayer di sini pada Sabtu.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong mengesahkan dua wakil dari DAP pada Sabtu membuat laporan polis berhubung perkara itu, namun enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini media melaporkan Guan Eng yang juga Pengerusi DAP, mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap Tajuddin berhubung kenyataan penyandang kerusi Parlimen Pasir Salak itu, sewaktu menjadi ahli panelis program Wacana Sinar, mendakwa Guan Eng menjadikan Kementerian Kewangan sebagai tokong Cina selain meminggirkan pegawai Melayu. - Bernama
