
TAWAU: Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin yakin parti itu mampu memenangi sekurang-kurangnya lapan kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) jika diberikan ruang dan peluang.
Menurutnya, di samping bertekad mempertahankan enam kerusi miliknya, parti itu juga mahu menawan semula Sri Tanjong dan Elopura, yang wakilnya keluar menyertai Warisan, pihaknya menyasarkan lebih banyak kerusi iaitu lapan hingga 10.
Bagaimanapun, katanya, perkara itu bergantung kepada strategi parti memandangkan proses rundingan kerusi dan nama calon masih belum selesai.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});Dalam pada itu, Pengarah Dasar Nasional DAP itu mengesahkan tidak akan bertanding pada PRN17 kerana mahu memberikan fokus kepada tugasnya sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan Timbalan Menteri di peringkat pusat.
Tambahan pula, Chan berkata, DAP Tawau mempunyai pemimpin pelapis yang lebih muda dan berkebolehan untuk diketengahkan.
“Jadi bukanlah keutamaan saya untuk bertanding PRN kali ini. DAP sentiasa ada pasukan pemimpin generasi baru. Saya pun sudah dikira generasi veteran di Sabah dan saya tidak akan mengambil dua kerusi sekali gus. Kita (perlu) adil kan,” katanya.
Beliau bercakap kepada media selepas merasmikan Program Libat Urus Galakkan Tanaman Koko Sektor Perladangan Wilayah Sabah, di sini, pada Selasa.
Untuk rekod, Chan merupakan Adun pertama DAP yang berjaya memenangi kerusi tradisi kerajaan (BN - PBS) bagi Sri Tanjong ketika itu.
Kepada soalan, beliau menyifatkan ura-ura kononnya PRN Sabah diadakan pada 7 September selepas lawatan Perdana Menteri ke Sabah, sebagai hanya spekulasi.
Katanya, beliau sendiri tidak mengetahui tarikh sebenar pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana perkara itu adalah kuasa penuh Ketua Menteri.
“Jadual PMX pun saya tidak tahu, apatah lagi bila Ketua Menteri Sabah dapat idea untuk pembubaran. Macam mana pun, yang akan datang tetap akan datang. Kalau nak bubar, bubarlah,” katanya.
Berkenaan laporan kononnya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memohon 50 kerusi manakala Pakatan Harapan (PH) meminta 23 kerusi, beliau menegaskan proses rundingan pembahagian kerusi masih berjalan dan belum lagi dimuktamadkan.
“Kadang kala dikatakan PH akan bertanding 25 kerusi, kadang kala 23 kerusi. Saya sendiri tidak tahu. Tak perlu kejar nombor itu kerana rundingan belum selesai,” katanya.
