
KOTA TINGGI – “Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku. Kalau dah tak ada, dapat bawa balik jasad dia pun kami dah cukup, alhamdulillah.”
Demikian luahan bapa kepada Muhammad Thaqif Rayyan, 16, yang lemas ketika mandi-manda bersama rakan-rakannya di Pantai Tanjung Lompat, di sini hari ini.
Bapanya, Rumainoor Salleh, 47, berkata, dia langsung tidak menyangka hasrat anak bongsu daripada tiga beradik itu untuk keluar rumah semalam berakhir dengan tragedi memilukan.
Katanya, dia yang bekerja syif malam hanya menyedari kehilangan anaknya awal pagi tadi selepas mendapati bilik tidur mangsa kosong dan panggilan telefon yang dibuat tidak berjawab.
“Dia cuma beritahu kakaknya nak pergi Johor ikut emak kawan. Saya balik kerja malam dan pagi tadi bangun, tengok bilik dia sudah tak ada. Telefon banyak kali pun tak berangkat.
“Sekitar pukul 8.10 pagi, barulah saya terima panggilan daripada anak memaklumkan mengenai kejadian ini,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post ‘Dapat bawa balik jasad pun kami dah cukup’ appeared first on Kosmo Digital.




