
KOTA TINGGI: Ahli keluarga kepada salah seorang mangsa lemas mengaku tidak mengetahui anaknya berkunjung ke Pantai Tanjung Lompat, di sini untuk mandi laut bersama rakan-rakannya.
Rumainoor Salleh, 47, bapa kepada Muhammad Thaqif Rayyan, 16, berkata, dia hanya menyedari anaknya tiada di rumah awal pagi tadi selepas pulang daripada kerja syif malam.
Bagaimanapun katanya, ahli keluarga reda dengan ketetapan yang telah berlaku, namun berharap jasad anaknya berjaya ditemukan.
“Kami sekeluarga reha dengan apa berlaku, kalau dia sudah tiada, dapat bawa balik jasad dia pun kami dah cukup Alhamdulillah.
“Dia ada beritahu kakaknya nak keluar ikut emak kawannya. Saya balik kerja lewat malam, pagi tadi selepas bangun tengok dia tiada di rumah. Telefon berkali-kali juga tidak dijawab.
“Sekitar pukul 8.10 pagi, barulah saya terima maklumat mengenai kejadian ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Sementara itu, kakak mangsa, Nur Adriana Dania, 24, berkata, kebiasaannya arwah akan memberitahu dirinya terlebih dahulu sekiranya mahu keluar ke mana-mana bersama rakan.
“Dia memang biasa berterus terang dengan saya, kerana saya ada bersama dia sepanjang masa berbanding ayah. Tetapi semalam dia tidak beritahu apa-apa tentang mahu berkhemah.
“Dia cuma kata mahu pergi tempat lain. Tetapi pagi tadi kira-kira pukul 7.30 pagi, kawan dia tiba-tiba datang ke rumah beritahu adik saya lemas,” katanya.
Nur Adriana Dania turut memberitahu, adiknya ada menunjukkan perubahan sikap menjadi lebih pendiam berbanding biasa sejak beberapa minggu lalu.
“Seminggu dua ini memang dia tidak banyak bercakap, sebaliknya banyak diam. Balik sekolah dia makan terus masuk bilik. Malam tadi pun dia cuma beritahu nak keluar seperti biasa.
“Status akaun media sosial seperti TikTok juga dia ‘hide’ daripada saya dan ayah. Hanya kawan-kawannya sahaja dapat lihat status tentang perkhemahan mereka,” katanya.-UTUSAN
The post Keluarga tidak tahu mangsa ke pantai bersama kawan – ayah appeared first on Utusan Malaysia.






