sarah08/10/2026 - 15:42 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Pengendali eJamin, Dapat Vista (M) Sdn Bhd (DVSB), mempertahankan penggunaan dana jaminan mahkamah bagi menjana pendapatan untuk membiayai operasi sistem pembayaran dalam talian itu, selain menjelaskan perbezaan baki RM557,258 berpunca daripada transaksi yang masih belum dijelaskan.
Anak syarikat Pertama Digital Bhd itu berkata pendapatan faedah daripada pelaburan dana jaminan digunakan untuk membiayai operasi eJamin yang menelan kos purata RM450,000 sebulan.
DVSB dan Pertama Digital berkata mereka mengambil maklum dapatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) serta menyokong syor supaya perjanjian rasmi dengan kerajaan dipercepatkan bagi memperkukuh akauntabiliti dan perlindungan terhadap dana jaminan.
Menurut DVSB, perjanjian itu kini berada pada peringkat kelulusan akhir kerajaan, manakala pengecualian khas sedia ada daripada Kementerian Kewangan (MOF) kekal berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga perjanjian tersebut dimuktamadkan dan ditandatangani, yang mana lebih awal.
“Keyakinan orang awam amat penting kepada kami dan kami terus mengambil serius tanggungjawab terhadap penjamin,” kata kedua-dua syarikat dalam kenyataan bersama.
Mereka berkata eJamin terus beroperasi, dengan bayaran balik dan pelucutan wang diproses mengikut perintah mahkamah yang berkuat kuasa.
Pendapatan faedah biayai operasi
DVSB berkata di bawah model pembiayaan sedia ada, dana jaminan yang tidak diperlukan untuk bayaran balik harian ditempatkan dalam akaun deposit semasa dan instrumen pelaburan melalui institusi kewangan yang diluluskan, termasuk instrumen Islam.
Syarikat itu berkata jumlah pokok kekal sebagai baki terhad yang perlu dibayar kepada penjamin, tertakluk kepada perintah mahkamah, dan direkodkan dalam akaun maya atas nama penjamin yang dipegang oleh bank.
“Hanya pendapatan faedah yang dijana daripada pelaburan tersebut disediakan kepada DVSB bagi membiayai operasi eJamin,” katanya.
Menurut DVSB, sistem itu dibangunkan dan dikendalikan menerusi model kerjasama awam-swasta tanpa bayaran pembangunan, operasi atau penyelenggaraan daripada kerajaan atau orang awam.
Berhubung perbezaan RM557,258 yang dibangkitkan PAC, DVSB berkata jumlah itu berkaitan proses penyelarasan baki pada 31 Disember 2024.
Syarikat itu menjelaskan perbezaan tersebut berpunca daripada dana dalam transit, iaitu transaksi yang direkodkan dalam sistem eJamin tetapi masih belum dijelaskan atau dipaparkan dalam penyata bank berkaitan pada tarikh tutup akaun.
DVSB berkata penjelasan berhubung perkara itu telah dikemukakan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Akauntan Negara, bersama rekod sokongan yang diperlukan bagi melengkapkan serta mengesahkan proses penyelarasan.
Tiga pilihan untuk kerajaan
DVSB berkata tiga pilihan model operasi telah dicadangkan kepada kerajaan, iaitu pembelian terus sistem eJamin oleh kerajaan, model langganan atau model hibrid yang membolehkan syarikat mengendalikan dan menyelenggara sistem itu selama lima tahun sebelum menyerahkannya kepada kerajaan.
Menurut syarikat, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan mengemukakan ketiga-tiga pilihan itu kepada MOF pada 18 Ogos 2025 sebagai sebahagian daripada perbincangan untuk memformalkan perkhidmatan tersebut.
Penglibatan pihak berkaitan dalam eJamin bermula pada 2019, manakala MOF pada 26 Disember tahun sama mengeluarkan surat tiada halangan terhadap pelaksanaan sistem itu, tertakluk kepada syarat berkaitan pematuhan kewangan, pemilikan data kerajaan dan perjanjian.
Dilancarkan pada Januari 2020, eJamin membolehkan penjamin membuat bayaran jaminan mahkamah secara dalam talian. Sistem itu diperluaskan daripada enam mahkamah terpilih di Lembah Klang kepada lebih 120 mahkamah di seluruh negara menjelang akhir tahun sama susulan pelaksanaan sekatan pergerakan ketika pandemik.
MOF mengarahkan perkhidmatan itu diteruskan buat sementara waktu pada 17 Mei 2024, diikuti pengecualian khas pada 28 November 2024 yang kemudiannya dilanjutkan.
DVSB berkata kerja memuktamadkan perjanjian rasmi telah berjalan sejak Februari 2025, dengan perbincangan turut meliputi cadangan sebuah bank bertindak sebagai pemegang amanah.
“Kami telah bekerjasama sepanjang proses perbincangan ini dan akan terus menyediakan rekod, maklumat serta penjelasan yang diperlukan bagi menangani perkara yang dibangkitkan PAC,” kata kedua-dua syarikat..- DagangNews.com


