liza06/10/2026 - 09:22 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Okt – Anak syarikat tidak langsung Pertama Digital Bhd, Dapat Vista Sdn Bhd melaburkan RM130.8 juta daripada wang jaminan mahkamah yang dikutip menerusi sistem eJamin dalam beberapa instrumen termasuk sukuk tanpa kelulusan atau kuasa undang-undang daripada kerajaan, menurut Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
eJamin dikendalikan Dapat Vista Sdn Bhd yang 80% dimiliki Television Airtime Services Sdn Bhd, iaitu syarikat yang 51% dimiliki Pertama Digital Bhd. Baki 20% Dapat Vista pula dimiliki HeiTech Padu Bhd.
Pelaburan itu merupakan sebahagian daripada baki wang jaminan berjumlah RM193.71 juta pada akhir 2024, dengan hanya RM62.3 juta disimpan dalam akaun bank manakala baki RM130.8 juta dilaburkan oleh Dapat Vista.
PAC juga mendedahkan eJamin beroperasi selama lima tahun tanpa kontrak rasmi dengan kerajaan.
Menurut laporan PAC, sistem itu turut menerima wang jaminan ke dalam akaun bank milik Dapat Vista, bukannya akaun amanah kerajaan seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Akta Tatacara Kewangan 1957.
eJamin bermula selepas kajian Dapat Vista pada 2017 bagi memudahkan urusan pembayaran wang jaminan di mahkamah.
Sistem itu kemudiannya dilaksanakan sebagai projek bukti konsep (proof of concept) dengan persetujuan Ketua Hakim Negara ketika itu, tetapi tanpa mengikuti prosedur perolehan kewangan kerajaan yang berkuat kuasa.
Wang jaminan RM193.71 juta
Sistem berkenaan diperluaskan ke 192 mahkamah di seluruh negara dan beroperasi selama lima tahun bermula 10 Januari 2020 tanpa perjanjian kontrak rasmi.
PAC mendapati baki wang jaminan berjumlah RM193.71 juta pada akhir 2024. Daripada jumlah itu, hanya RM62.3 juta disimpan dalam akaun bank manakala RM130.8 juta lagi dilaburkan oleh Dapat Vista dalam beberapa instrumen termasuk sukuk.
Pelaburan itu dibuat tanpa kelulusan atau kuasa undang-undang daripada kerajaan, manakala Dapat Vista memperoleh antara RM4 juta hingga RM5 juta faedah yang dianggap syarikat sebagai pendapatan perkhidmatan.
PAC turut menemui perbezaan RM557,258 antara rekod dalam sistem eJamin dengan penyata bank syarikat, yang masih belum disahkan.
eJamin pernah dihentikan
Laporan itu turut menyatakan tiada struktur pemegang amanah (trustee), bon prestasi atau insurans bagi melindungi wang jaminan berkenaan.
Keadaan itu menyebabkan penjamin berisiko menjadi pemiutang biasa sekiranya Dapat Vista menghadapi masalah kewangan atau dilikuidasi.
Pada April 2024, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengarahkan eJamin dihentikan dan urusan wang jaminan dikembalikan kepada kaedah konvensional selepas terdapat penemuan ketidakpatuhan terhadap prosedur kewangan.
Bagaimanapun, langkah itu mendapat bantahan daripada Majlis Peguam Malaysia, pengamal undang-undang dan orang awam kerana dikhuatiri mengganggu proses pembebasan dengan jaminan serta penyampaian perkhidmatan kehakiman.
Susulan itu, Kementerian Kewangan pada 17 Mei 2024 mengarahkan eJamin diteruskan buat sementara waktu bagi mengelakkan gangguan kepada penyampaian perkhidmatan kerajaan.
eJamin disambung semula pada 24 Mei 2024 manakala Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memohon pengecualian kewangan khas daripada Kementerian Kewangan bagi membolehkan sistem itu diteruskan.
Pada 28 November 2024, Kementerian Kewangan memberikan pengecualian sementara khas sehingga Disember 2024 yang kemudiannya dilanjutkan dua kali sehingga 31 Disember 2025.
Kerajaan, Dapat Vista belum capai persetujuan
Menurut PAC, Jabatan Perdana Menteri pada Mac 2024 mengarahkan Pejabat Ketua Pendaftar memindahkan wang jaminan daripada akaun Dapat Vista ke akaun utama Bahagian Akaun Jabatan Perdana Menteri.
Kerajaan turut mencadangkan Dapat Vista dilantik sebagai ejen kutipan.
Bagaimanapun, Dapat Vista menolak cadangan itu dan menyatakan eJamin akan dihentikan sekiranya wang tersebut dipindahkan.
Pada 18 Ogos 2025, Dapat Vista mengemukakan tiga pilihan, iaitu pembelian terus, langganan atau model hibrid bernilai antara RM40 juta hingga RM80 juta bagi membolehkan perkhidmatan diteruskan tanpa menjejaskan orang awam.
Namun, Kementerian Kewangan menolak cadangan komersial berkenaan dan memutuskan supaya sistem sedia ada diteruskan menerusi kontrak rasmi serta struktur pemegang amanah.
PAC menggesa kerajaan mempercepatkan rundingan antara Pejabat Ketua Pendaftar dan Kementerian Kewangan bagi memuktamadkan perjanjian rasmi dengan Dapat Vista untuk melindungi wang jaminan.
Jawatankuasa itu turut mengesyorkan supaya kerajaan memperjelas takrif “wang awam” bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan agensi kerajaan serta memastikan pengurusan dan perakaunan wang jaminan mematuhi undang-undang.
PAC juga mencadangkan Pejabat Ketua Pendaftar membangunkan modul wang jaminannya sendiri melalui sistem eCourt Finance atau e-Kehakiman bagi mengurangkan kebergantungan kepada vendor dan memastikan data dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan.
Selain itu, PAC mahu kawalan perolehan kerajaan diperketatkan supaya tiada vendor mengendalikan projek tanpa kontrak sah sejak awal pelaksanaan, selain memperkemas kawalan terhadap pemberian pengecualian kewangan khas. - DagangNews.com





