sarah08/10/2026 - 15:42 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 8 Okt - Dapat Vista (M) Sdn Bhd (DVSB), anak syarikat Pertama Digital Bhd, mengakui dapatan dan syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung pengurusan sistem eJamin serta menyokong usaha mempercepatkan penyelesaian perjanjian rasmi dengan kerajaan.
Dalam kenyataan bersama DVSB dan Pertama Digital, syarikat berkata perjanjian itu penting bagi memperkukuh akauntabiliti serta perlindungan dana jaminan, selain memastikan kesinambungan perkhidmatan kepada mahkamah dan orang awam.
“Kami terus komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memuktamadkan perjanjian rasmi dengan tanggungjawab dan perlindungan yang jelas terhadap dana jaminan,” katanya.
Perjanjian rasmi di peringkat kelulusan akhir
DVSB berkata perbincangan mengenai eJamin bermula pada 2019 dengan melibatkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Kementerian Kewangan (MOF), Jabatan Akauntan Negara dan Jabatan Peguam Negara.
Perbincangan itu merangkumi model operasi, aturan kewangan, keperluan keselamatan serta terma kontrak, manakala MOF pada 26 Disember 2019 mengeluarkan surat tiada halangan terhadap pelaksanaan yang dicadangkan, tertakluk kepada syarat berkaitan pematuhan kewangan, pemilikan data kerajaan dan perjanjian.
Kerja penyediaan perjanjian rasmi telah dimulakan sejak Februari 2025 dan kini berada pada peringkat kelulusan akhir kerajaan, menurut DVSB.
Sementara itu, pengecualian khas MOF sedia ada bagi operasi eJamin kekal berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2026 atau sehingga perjanjian rasmi dimuktamadkan dan ditandatangani, yang mana lebih awal.
eJamin beroperasi tanpa kos kerajaan
DVSB berkata eJamin dibangunkan dan dikendalikan menerusi model kerjasama awam-swasta tanpa bayaran pembangunan, operasi atau penyelenggaraan oleh kerajaan atau orang awam.
Di bawah model pembiayaan sedia ada, dana jaminan yang tidak diperlukan untuk bayaran balik harian ditempatkan dalam akaun deposit semasa dan instrumen pelaburan melalui institusi kewangan yang diluluskan, termasuk instrumen Islam.
“Jumlah pokok merupakan baki terhad yang perlu dibayar kepada penjamin, tertakluk kepada perintah mahkamah, dan direkodkan dalam akaun maya atas nama penjamin yang dipegang oleh bank.
“Hanya pendapatan faedah yang dijana daripada pelaburan tersebut disediakan kepada DVSB bagi membiayai operasi sistem eJamin, dengan kos operasi semasa purata RM450,000 sebulan,” katanya.
DVSB berkata tiga pilihan model operasi turut dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan, iaitu pembelian terus sistem eJamin, langganan perkhidmatan dan produk, atau model hibrid yang menyaksikan DVSB mengekalkan serta mengendalikan sistem selama lima tahun sebelum menyerahkannya kepada kerajaan.
Perbezaan RM557,258 berkait dana dalam transit
Berhubung perbezaan RM557,258 yang dibangkitkan PAC, DVSB menjelaskan jumlah itu berkaitan proses penyelarasan baki pada 31 Disember 2024.
Menurutnya, perbezaan tersebut berpunca daripada dana dalam transit, iaitu transaksi yang telah direkodkan dalam sistem eJamin tetapi belum dijelaskan atau dipaparkan dalam penyata bank berkaitan pada tarikh tutup akaun.
DVSB berkata kutipan jaminan, bayaran balik dan pemindahan wang lucut hak berlaku setiap hari, menyebabkan baki dalam sistem dan bank berubah secara berterusan.
Syarikat itu berkata penjelasan berhubung perkara tersebut telah didokumenkan dan dikemukakan kepada Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Jabatan Perdana Menteri serta Jabatan Akauntan Negara, bersama rekod sokongan bagi melengkapkan dan mengesahkan proses penyelarasan.
eJamin diperkenalkan pada Januari 2020 bagi membolehkan penjamin membuat bayaran jaminan mahkamah secara dalam talian tanpa perlu berulang-alik antara mahkamah dan bank.
Sistem itu pada awalnya digunakan di enam mahkamah terpilih di Lembah Klang sebelum diperluaskan kepada lebih 120 mahkamah di seluruh negara pada akhir 2020 susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
DVSB berkata eJamin terus beroperasi dan bayaran jaminan serta bayaran balik diproses mengikut perintah mahkamah yang berkuat kuasa.- DagangNews.com



