Dapatkan Starfield Secara Percuma Dengan Pembelian Komponen AMD Ryzen Ataupun Radeon

TechnologyDigital
12 Jul 2023 • 6:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

AMD baru-baru ini telah memperkenalkan promosi dimana setiap pembelian komponen AMD Ryzen dan AMD Radeon, ataupun komputer yang dikuasakan oleh komponen-komponen ini boleh mendapatkan Starfield, permainan komputer terbaru keluaran Bethesda Studios, syarikat disebalik permainan komputer lain seperti Elder Scrolls V: Skyrim dan juga siri permainan komputer Fallout.

image is not available

Starfield merupakan permainan separa dunia terbuka dimana anda boleh meneroka planet dan alam semesta secara terbuka, dan ia hadir dengan penceritaannya sendiri yang unik jika anda mahukan pengalaman gaming yang lebih linear. Pilihan corak permainan adalah di tangan anda sendiri.

Bergantung kepada komponen cip pemprosesan AMD Ryzen ataupun AMD Radeon yang dibeli, anda boleh mendapatkan permainan Starfield edisi Standard ataupun Premium secara percuma. Sebagai contoh, jika anda membeli cip pemprosesan AMD Ryzen 9 7950X3D ataupun kad grafik AMD Radeon RX 7900XTX, anda akan mendapatkan Starfield Premium, manakala jika anda membeli cip pemprosesan AMD Ryzen 7 7700X ataupun kad grafik AMD Radeon RX 6500, anda akan menerima Starfield edisi Standard.

image is not available

Perbezaan diantara kedua-dua versi ini ialah versi Standard akan dilancarkan pada September 6 tahun ini, tetapi jika anda memiliki edisi Premium, anda bukan sahaja dapat memainkan permainan ini 5 hari lebih awal, tetapi juga akan menerima kandungan tambahan kostum seperti Equinox Laser Rifle, Spacesuit, Helmet dan Boost Pack. Anda juga akan menerima kandungan penceritaan tambahan Shattered Space Story apabila ia dilancarkan.

Promosi AMD dan Starfield ini sudahpun bermula, dan akan berterusan sehingga 20 September ini. Untuk menebus permainan Starfield ini, anda hanya perlu mendapatkan resit dan kod kupon daripada pekedai, dan masukkan butiran tersebut di laman web AMD Rewards. Untuk melihat komponen-komponen mana yang layak dibawah promosi ini, anda boleh melayari laman web AMD.