Dari butter chili clam dengan roti mantou hingga ke pasta, Borak Borak tampilkan cita rasa berbeza

Food
29 Aug 2026 • 2:41 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Dari butter chili clam dengan roti mantou hingga ke pasta, Borak Borak tampilkan cita rasa berbeza

SATU meja, macam-macam selera. Ada yang mahu makanan tempatan, ada yang mencari hidangan berasaskan makanan laut, manakala yang lain pula lebih selesa dengan pasta, pizza atau burger.

Keadaan sebegini cukup biasa apabila makan bersama keluarga, rakan atau teman sekerja.

“Kadangkala, yang membuatkan waktu makan lebih menyeronokkan ialah apabila setiap orang boleh memilih sesuatu mengikut selera masing-masing.”

Barangkali itu juga yang tergambar menerusi pilihan hidangan di Borak Borak Café & Lounge, Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam.

Menu á la carte di lokasi tersebut kini menampilkan gabungan sajian dengan cita rasa yang berbeza, daripada kudapan tempatan hinggalah hidangan yang lebih moden dan berinspirasikan masakan Barat.

Image from: Dari butter chili clam dengan roti mantou hingga ke pasta, Borak Borak tampilkan cita rasa berbeza

Antara yang mencuri perhatian ialah Butter Chili Clam, sajian kerang yang dimasak bersama sos mentega berkrim, daun kari, bawang putih, cili dan paprika.

Rasa lemak daripada mentega bertemu dengan kepedasan cili dan aroma daun kari, manakala roti mantou yang gebu menjadi teman untuk dicicah bersama sos.

Bagi mereka yang lebih menggemari hidangan berasaskan ikan, Salmon Miso hadir dengan salad kentang Jepun, arugula, sos bawang putih, halia, bijan serta kepingan keladi rangup.

Ada pula Malaysian Delicacies Platter yang menggabungkan beberapa makanan kudap seperti cucur udang, keropok lekor, wonton ayam dan keladi goreng.

Sambal kacang dan sos cili manis melengkapkan hidangan, menjadikannya lebih sesuai untuk dinikmati bersama sambil berbual.

Image from: Dari butter chili clam dengan roti mantou hingga ke pasta, Borak Borak tampilkan cita rasa berbeza

Pilihan untuk selera berbeza

Beralih kepada sajian pasta, Pappardelle Bolognaise menggunakan pasta berbentuk reben yang digaul bersama ragu daging lembu yang dimasak perlahan.

Campuran sayuran sofrito, tomato dan selasih memberikan lapisan rasa sebelum hidangan disudahkan dengan parutan keju Parmesan.

Seafood Cortoccio pula membawa sedikit kelainan menerusi gabungan makanan laut, bawang, bawang putih, daun selasih dan sos tomato bersama pasta berbentuk cangkerang.

Hidangan itu dimasak secara en papillote menggunakan kertas parchment, satu teknik yang turut memberikan pengalaman berbeza ketika menikmati sajian.

Bagi penggemar pizza, Black Pepper Beef Pizza menggabungkan daging lada hitam bersama cendawan, bawang, selasih dan mozzarella.

Sementara itu, Chicken Burger tampil dengan peha ayam goreng rangup, coleslaw, daun salad, tomato dan sos istimewa, selain keledek Jepun rangup sebagai pelengkap.

Image from: Dari butter chili clam dengan roti mantou hingga ke pasta, Borak Borak tampilkan cita rasa berbeza

Swedish Style pula hadir bersama kentang lenyek dan sos yang pekat serta berkrim.

Daripada makanan kudap yang boleh dikongsi hinggalah hidangan utama yang lebih mengenyangkan, kepelbagaian menu sebegini memberikan ruang untuk setiap orang memilih mengikut selera.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved