
Ada negara yang berdiri megah kerana kekuatan tenteranya. Ada pula yang disegani lantaran kemajuan ekonomi serta kecanggihan teknologinya. Namun, sesebuah negara tidak akan benar-benar kukuh hanya dengan gedung pencakar langit atau angka pertumbuhan yang memberangsangkan. Sebuah negara menjadi teguh apabila terpaut dalam jiwa rakyatnya rasa kasih yang tidak berbelah bahagi terhadap tanah air.
Cinta kepada negara bukanlah suatu perasaan yang lahir secara tiba-tiba apabila berkumandang lagu kebangsaan atau ketika tiba musim sambutan Hari Kebangsaan. Ia tumbuh perlahan-lahan, disemai melalui teladan, dipupuk melalui didikan dan diwariskan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.
Atas kesedaran itulah, inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) terus diperkasakan sebagai gerakan nasional untuk menyemarakkan semula semangat kebangsaan dalam kalangan rakyat. Gagasan ini membawa mesej yang cukup jelas iaitu semangat cintakan negara bermula dari rumah.
Sebelum berbicara tentang pengorbanan yang agung demi tanah air, barangkali kita perlu bertanya kepada diri sendiri: sudahkah kita menghargai nikmat kemerdekaan melalui amalan yang paling mudah? Mengibarkan Jalur Gemilang di halaman rumah mungkin kelihatan kecil pada pandangan mata, namun dalam tindakan yang sederhana itu, tersembunyi lambang penghormatan terhadap sejarah panjang sebuah bangsa.
Jalur Gemilang menyimpan lebih daripada makna yang tampak pada pandangan mata. Pada setiap jalurnya terakam kisah perjuangan, pada setiap kibarannya terhimpun keringat para perintis kemerdekaan serta ikhtiar generasi terdahulu membina sebuah negara yang aman dan sejahtera. Di bawah panji yang sama, rakyat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya belajar untuk hidup sebagai sebuah keluarga besar, berkongsi cita-cita serta mendepani cabaran dengan semangat muafakat.
Bagi generasi yang melalui era sebelum kemerdekaan, Jalur Gemilang mengingatkan mereka kepada harga sebuah kebebasan. Bagi generasi muda yang lahir dalam suasana harmoni dan serba mencukupi, panji kebangsaan ini seharusnya menjadi lambang identiti serta kebanggaan sebagai anak Malaysia. Zaman mungkin berubah, namun amanah untuk memelihara semangat cinta akan negara tetap sama.
Namun demikian, kita tidak dapat menafikan bahawa arus kehidupan hari ini bergerak pantas. Kemajuan teknologi dan ledakan media sosial membuka jendela dunia tanpa sempadan. Dalam keghairahan mengejar kemodenan, ada ketikanya nilai patriotisme dilihat semakin terpinggir. Mengibarkan Jalur Gemilang dianggap sekadar adat tahunan apabila dipasang ketika bulan kebangsaan menjelang, lalu dilupakan sebaik sahaja perayaan berakhir. Hakikatnya, semangat cintakan negara tidak sepatutnya bermusim.
Menyedari cabaran tersebut, Kementerian Komunikasi melalui Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) terus mengatur langkah mendekati rakyat dengan pelbagai pendekatan yang lebih segar dan mesra masyarakat. Inisiatif 1R1JG yang diperkenalkan secara rasmi pada Mei 2024 terus dipergiatkan agar mesej patriotisme dapat dirasai oleh seluruh lapisan rakyat. Kempen ini mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sebagai tanda penghormatan kepada negara serta mengenang jasa pejuang terdahulu yang telah membuka jalan kepada kemerdekaan.
Lebih penting, kempen ini bertujuan membentuk rasa memiliki terhadap negara. Apabila Jalur Gemilang dikibarkan di halaman rumah, ia mengingatkan kita bahawa keamanan, keharmonian dan kestabilan yang dinikmati hari ini bukan sesuatu yang datang dengan mudah. Ia dibina melalui kesepakatan, toleransi dan pengorbanan generasi terdahulu yang harus terus dihargai.
Bagi memastikan mesej tersebut sampai hingga ke peringkat akar umbi, JAPEN memanfaatkan kekuatan jaringan komunikasinya di seluruh negara. Program-program turun padang dilaksanakan secara berterusan melalui sesi libat urus komuniti, ceramah kenegaraan, edaran Jalur Gemilang serta pelbagai aktiviti bersama masyarakat setempat. –UTUSAN
The post Mengibar Jalur Gemilang tanda cinta kepada negara appeared first on Utusan Malaysia.


