
APABILA bercakap tentang persediaan anak-anak menghadapi alam pekerjaan, kita sering memikirkan keputusan peperiksaan, penguasaan bahasa, kemahiran teknologi dan kelayakan akademik.
Sebenarnya, ada satu perkara yang tidak semestinya tercatat pada sijil tetapi sangat menentukan kejayaan seseorang apabila dewasa. Itulah kemahiran insaniah yang sering kali kurang diberi perhatian.
Kemahiran berkomunikasi, kerja berpasukan, penyelesaian masalah, pemikiran kritis, pengurusan masa, kepimpinan, kecerdasan emosi dan kebolehan menyesuaikan diri bukanlah kemahiran yang tiba-tiba muncul selepas seseorang mula bekerja.
RUMAH SEKOLAH PERTAMA
Semuanya terbentuk jauh lebih awal iaitu di rumah sejak kecil. Rumah merupakan sekolah pertama bagi kanak-kanak.
Sebelum mengenal guru, buku teks atau bilik darjah, anak-anak belajar melalui pemerhatian terhadap ibu bapa dan ahli keluarga.
Misalnya, cara ayah bercakap dengan ibu, cara ibu melayan datuk dan nenek, cara adik-beradik menyelesaikan pertengkaran dan cara keluarga membuat keputusan bersama.
Jika anak-anak dibiasakan mendengar sebelum menjawab, menyatakan pendapat tanpa menghina orang lain dan meminta maaf apabila melakukan kesalahan, mereka sedang mempelajari komunikasi dan kecerdasan emosi.
Kerja-kerja di rumah boleh menjadi latihan kemahiran insaniah.
Membersihkan halaman, menyusun barang, membantu menyediakan makanan atau menjaga adik mungkin kelihatan seperti tugas biasa. Sebenarnya, aktiviti seperti ini mengajar nilai tanggungjawab, kerjasama, pengurusan masa dan kepimpinan.
Apabila adik-beradik berebut tugas atau tidak bersetuju tentang cara melakukan sesuatu, ibu bapa boleh membimbing mereka mencari penyelesaian bersama. Di sinilah kemahiran menyelesaikan masalah dan pemikiran kritis berkembang.
Anak-anak berpeluang belajar melihat sesuatu isu dari beberapa sudut sebelum membuat keputusan. Mereka juga sedar, tidak semua masalah ada satu jawapan yang mudah.
Kemahiran berfikir secara analitik, mengenal pasti masalah, menilai maklumat dan membuat keputusan secara rasional memang penting dalam kehidupan dan alam pekerjaan.
Keluarga juga boleh menjadi tempat terbaik membina ciri kepimpinan.
Kepimpinan tidak semestinya bermaksud menjadi ketua atau memberi arahan kepada orang lain.
Anak yang berani mengambil tanggungjawab, membantu adik, mencadangkan penyelesaian atau mengakui kesilapan sebenarnya sedang membina nilai kepimpinan sebenar.
Kita sebagai ibu bapa boleh memberikan tanggungjawab kecil mengikut umur, misalnya mengurus jadual belajar, merancang aktiviti keluarga atau memastikan tugasan selesai mengikut masa.
Hasilnya, anak belajar hakikat menjadi pemimpin bukan tentang kuasa tetapi tentang amanah, pertimbangan dan kesediaan menanggung kesan dan akibat daripada keputusan sendiri.
Kecerdasan emosi (EQ) pula sering diuji dalam perkara yang kelihatan kecil. Misalnya, anak kecewa kerana kalah dalam permainan atau marah kerana tidak dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Mungkin si adik cemburu apabila si kakak mendapat hadiah di sekolah.
Semua keadaan ini memberikan peluang kepada ibu bapa mengajar anak mengenal emosi, mengawal emosi dan memahami perasaan orang lain. Usah anggap kemarahan anak sebagai sikap kurang ajar. Sebaliknya, kita perlu membimbing anak-anak memahami sebab mereka marah dan cara sesuai meluahkan kemarahan.
Hubungan dengan jiran pula membuka ruang pembelajaran yang lebih luas.
Di Malaysia, sebuah taman perumahan atau pangsapuri boleh menjadi ruang pertemuan manusia daripada pelbagai kaum, agama, bahasa dan latar belakang.
Anak-anak yang bermain dengan jiran pelbagai kaum akan belajar memahami realiti hidup tidak tertumpu di dalam rumah sendiri. Mereka belajar berkongsi permainan, menunggu giliran, memahami kebiasaan keluarga lain dan menghormati perbezaan adat.
Hubungan seperti ini tidak perlu dipaksa melalui topik perpaduan dalam buku teks. Perpaduan sejati lebih mudah difahami apabila kanak-kanak benar-benar merasai pengalaman berkawan dan hidup bersama orang yang berbeza daripada diri dan keluarga sendiri.
Rakan sebaya juga merupakan guru yang penting. Dalam permainan, kerja sekolah atau aktiviti bersama, anak akan berhadapan dengan perselisihan, kekalahan, persaingan dan perbezaan pendapat. Semua itu adalah latihan tentang realiti kehidupan sebenar.
Hubungan persahabatan dan interaksi antara kumpulan etnik berbeza bukan sesuatu yang berlaku secara automatik. Sebaliknya, kita perlu menyediakan persekitaran kondusif yang membolehkan anak-anak berkongsi aktiviti dan pengalaman dengan anak-anak jiran di kawasan perumahan.
Dalam situasi ini, kita akan dapat menyaksikan bagaimana sikap saling membantu, berkongsi, bekerjasama dan menghormati berkembang melalui aktiviti pembelajaran serta permainan yang santai. Semua ini adalah kemahiran insaniah yang bakal menjadi bekalan sepanjang hayat.
Ibu bapa tidak wajar terlalu cepat masuk campur dan menyelesaikan semua konflik anak dengan rakan. Jika berlaku pertengkaran kecil, beri ruang untuk mereka belajar berdamai, berunding dan memahami perspektif orang lain.
Anak-anak yang tidak pernah berhadapan dengan perbezaan pendapat mungkin cemerlang dalam peperiksaan tetapi belum tentu tahu bekerja dengan manusia yang berbeza perangai.
Alam pekerjaan pada masa depan tidak akan menyediakan rakan sekerja yang semuanya sama fikiran. Maka, kemahiran menyesuaikan diri, menerima kritikan, bekerjasama dan mengurus konflik perlu dibina melalui pergaulan sejak kecil.
Kita tidak perlu menunggu anak masuk universiti atau mula bekerja untuk bercakap tentang kemahiran insaniah. Ia sudah boleh bermula ketika anak masih kecil seperti contoh di atas.
Sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) boleh memperkukuh kemahiran tersebut, manakala tempat kerja nanti akan mengujinya. Namun, akarnya tetap di rumah.
Anak yang membesar dalam keluarga yang mengamalkan komunikasi terbuka, tanggungjawab, empati dan rasa hormat akan membawa nilai itu bersamanya apabila keluar dan berhadapan dengan masyarakat.
Walaupun dunia pekerjaan semakin berubah akibat teknologi, automasi dan kecerdasan buatan (AI), manusia masih perlu berurusan dengan manusia. Malah, kemahiran memahami, bekerjasama dan bertindak secara matang bukan lagi sekadar ‘kemahiran insaniah’.
Sebaliknya, kini semakin menjadi kemahiran hidup yang wajib dikuasai sejak kecil. -UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
The post Kemahiran insaniah bermula di rumah appeared first on Utusan Malaysia.



