
KUALA LUMPUR – Tidak semua kasih sayang perlu diungkapkan dengan kata-kata. Ada yang dizahirkan melalui penantian di depan rumah, ciuman di tangan anak, dan doa yang tidak pernah putus setiap kali mereka melangkah keluar mencari rezeki. Itulah kasih seorang ayah yang sering kali hanya disedari apabila dikenang semula.
Perasaan itu turut dirasai ribuan netizen selepas menonton perkongsian seorang ahli farmasi dikenali sebagai Cik Kinah, yang memaparkan rutin hariannya bersama bapa tercinta.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @hellocikkinah, Cik Kinah berkongsi bahawa ketika beliau masih bekerja di hospital suatu ketika dahulu, bapanya akan menghantar ke tempat kerja setiap hari. Kini, walaupun usianya sudah mencecah 38 tahun, bapanya masih setia menunggu di hadapan rumah setiap pagi untuk melihat anak kesayangannya berangkat ke tempat kerja.
Lebih menyentuh hati, bapanya dilihat bersalaman sebelum mencium semula tangan anaknya sebagai tanda kasih sayang. Selepas itu, beliau terus berdiri di halaman rumah sehingga kereta anaknya hilang daripada pandangan.
“Dari Dulu, Hang Dunia Dia Kakak”
Antara momen yang paling menyentuh hati dalam video itu ialah apabila Cik Kinah berkongsi kata-kata ibunya mengenai kasih sayang bapanya terhadap dirinya.
Menurut ibunya:
“Dari dulu, hang dunia dia kakak.”
Pada masa sama, video itu turut memaparkan ayat:
“Sampai bila-bila, hang lah dunia dia.”
Cik Kinah turut berkongsi bahawa setiap kali beliau keluar bekerja, bapanya dipercayai akan membaca doa sambil melihat keretanya bergerak meninggalkan rumah.
Ungkapan ringkas dan rutin harian itu menyentuh hati ramai netizen kerana menggambarkan kasih seorang ayah yang tidak pernah berubah, walaupun anaknya sudah dewasa dan mempunyai kerjaya sendiri.
Ramai Luah Rindu Kepada Arwah Ayah
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen mengakui video tersebut membuatkan mereka terkenang arwah bapa yang pernah melakukan perkara sama suatu ketika dahulu.
Ada yang berkongsi kenangan bagaimana arwah ayah akan menunggu mereka pulang dari kerja, menghantar ke sekolah atau tempat kerja, malah sentiasa mendoakan keselamatan anak-anak tanpa pengetahuan mereka.
Tidak kurang juga yang menyifatkan Cik Kinah sebagai seorang anak yang bertuah kerana masih berpeluang menikmati kasih sayang seorang bapa yang sentiasa mengambil berat dan mendoakan kesejahteraannya setiap hari.
Perkongsian itu bukan sahaja mengundang sebak, malah menjadi peringatan kepada ramai bahawa kasih seorang ayah tidak mengenal usia. Walau setinggi mana anak melangkah dalam kehidupan, di mata seorang ayah, mereka tetap insan yang akan sentiasa dijaga, didoakan dan disayangi hingga ke akhir hayat. – The Malaysian Update
Sokong TMU
Jika anda menghargai usaha TMU dalam menyampaikan berita, maklumat dan isu semasa yang bermanfaat, anda boleh memberi sokongan secara sukarela.
Sokongan anda membantu kami terus menghasilkan laporan, artikel dan kandungan berkualiti untuk rakyat Malaysia.
The post “Dari Dulu, Hang Dunia Dia Kakak” – Kisah Kasih Seorang Ayah Kepada Anak Buat Ramai Sebak appeared first on The Malaysian Update.





