
KEJAYAAN seorang anak pastinya menjadi momen paling manis buat setiap ibu bapa, namun di sebalik senyuman bangga itu, terselit satu rasa berat hati yang sukar diungkapkan dengan kata-kata apabila terpaksa 'melepaskan' permata hati berdikari demi menuntut ilmu.
Perasaan bercampur baur inilah yang dikongsikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, baru-baru ini.
Menerusi satu hantaran yang cukup menyentuh emosi di laman Facebooknya, beliau berkongsi coretan peribadi sebagai seorang ibu ketika menghantar anak perempuannya, Maryam, menyambung pengajian.

Lebih bermakna dan manis lagi, Maryam nampaknya memilih untuk mengikut jejak langkah ibunya apabila bergelar warga "Taman Ilmu dan Budi", iaitu gelaran ikonik bagi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), tempat yang mana ibunya juga pernah menimba ilmu suatu ketika dahulu.
Melihat susuk tubuhnya sebagai seorang menteri, beliau kelihatan cukup tegas dan profesional di pentas urusan rasmi negara. Namun apabila kembali kepada fitrah seorang ibu, Fadhlina tidak dapat menyembunyikan sisi rapuh dan kasih sayangnya yang mendalam apabila sempat berseloroh tentang keadaannya yang menangis hiba sambil mengemas bilik asrama anaknya.
Beliau meluahkan rasa sayu dengan menulis, "Jaga diri sayang. Jangan lupa murajaah al-Quran dan jaga solat lima waktu.
"Mummy memang meraung tadi. Mata pun sudah bengkak menangis dan tudung sudah melepet buruk sebab sibuk jadi 'makcik cleaner' kemas bilik anak," tulisnya.

Beliau turut mengakui bahawa detik perpisahan kali ini terasa agak sukar memandangkan Maryam pernah memegang status sebagai anak bongsu dalam tempoh yang lama sebelum kehadiran tiga orang adik yang lain.
Luahan hati itu menjadi lebih syahdu apabila beliau mengakui turut berasa sayu.
"Mungkin juga sebab mummy sudah tua. Maka setiap kali anak meninggalkan mummy, terasa sangat sayu.
"Kami tinggalkan Maryam dalam jagaan ALLAH dan Rasul. Semoga dipermudahkan jihad menuntut ilmu," luahnya lagi.
Dalam hantaran yang sama, beliau turut menitipkan doa yang cukup indah buat Maryam agar difahamkan dalam urusan agama dan ajaran takwil, selain mengucapkan selamat menjadi warga kampus berkenaan.
Mewarisi kerjaya ibu
Perkongsian yang sangat telus dan menyentuh hati itu nyata dihujani pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya tumpang terharu serta memahami 'sindrom' ibu bapa yang terpaksa berjauhan dengan anak demi masa depan.
Malah, ada juga yang sempat mengusik tentang Maryam yang bakal mewarisi kerjaya ibunya dalam bidang undang-undang satu hari nanti dengan komen seperti, "Tahniah anakanda Maryam... So court attire mummy dah ada yang booking lah ni."
Netizen lain turut memuji kecekalan dua beranak ini dengan menitipkan kata-kata semangat, "Ikut jejak mommy ni... Hebat ibu ayah, hebat anak-anak.

Semoga terus cemerlang Maryam, secekal mommy." Ada juga yang mengimbau memori lama melihat situasi tersebut, "Tahniah YB dan anakanda... Sekelip mata anak menjadi dewasa... Keadaan memaksa kita melepaskan... Mengimbau memori tempat belajar YB dulu-dulu juga."
Kisah Fadhlina Sidek dan Maryam ini memberi refleksi indah buat kita semua tentang pengorbanan sebuah kasih sayang yang tidak bertepi.
Setinggi mana pun jawatan yang disandang oleh seorang wanita, rumah dan anak-anak tetap menjadi tempat di mana hatinya paling mudah rapuh dan tersentuh.
Buat Maryam, selamat melangkah ke fasa baharu di menara gading dan semoga terus cekal serta cemerlang menjejaki langkah hebat si ibu. Buat para ibu di luar sana yang sedang atau bakal melalui fasa hiba melepaskan anak belajar berjauhan, kuatlah demi masa depan mereka kerana anda tidak bersendiri dalam melalui fasa ini.





