
DARI layar perak, filem Sabah Mantera kini diadaptasikan ke bentuk novel oleh penulis ‘best seller’ kelahiran Negeri di Bawah Bayu, Zura Anwar.
Adaptasi ini menjadi satu lagi perkembangan membanggakan dalam industri kreatif Sabah.
Kejayaan ini menyusul selepas filem tempatan Syurga Dalam Botol arahan Ebi Kornelis yang berjaya meraih kutipan RM1.5 juta dalam dua minggu tayangan dan memegang rekod sebagai filem dengan kutipan tertinggi di negeri ini.
Menggunakan judul sama, majlis pelancaran novel itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Julinus Jeffrey Jimit di Akademi Seni dan Teknologi Kreatif (ASTiF), Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Julinus berkata STB tidak hanya mempromosikan Sabah menerusi pengembaraan dan keindahan alam semula jadi, bahkan juga juga aktif mempromosikan negeri ini melalui kebudayaan.
“Dalam filem Mantera, unsur-unsur budaya dipromosikan dan ia sesuai sebagai tontonan yang berunsur pendidikan.
“Dengan memposisikannya sebagai warisan dan budaya, ia akan menjadi satu produk pelancongan ke arah pelancongan pendidikan,” katanya.
Beliau turut berbangga apabila jambatan gantung terpanjang di Kg Toboh di Tambunan yang ditonjolkan dalam filem Mantera kini telah menjadi salah satu tarikan pelancong.
Tambahnya, STB akan terus membantu memartabatkan industri filem dengan menjalin kerjasama erat bersama penggiat kreatif, terutamanya melalui persatuan seperti Persatuan Filem dan Visual Sabah (Safva).
“Di kesempatan ini, saya ingin berkongsi berita gembira mengenai sebuah produksi terkenal dari Kollywood, Selatan India, yang telah membuat tinjauan lokasi di beberapa tempat menarik di Kundasang dan Ranau.
“Filem ini dijangka akan menarik ramai pelancong ke Sabah apabila ia ditayangkan kelak.
“Saya juga telah memaklumkan kepada Presiden Safva Chester Pang mengenai kesediaan Presiden Persatuan Filem India untuk datang ke Sabah pada November depan bagi mengadakan perbincangan dan libatsama bersama Safva,” tambahnya.
Terdahulu, pengarah filem Mantera, Chester mendedahkan bahawa penghasilan novel terbabit mengambil masa hampir setahun untuk disiapkan.
“Novel ini merupakan adaptasi pertama beliau dari layar perak ke halaman buku, yang ditulis oleh Zura Anwar.
“Saya bersyukur dan berbangga dapat bekerjasama dengan beliau ke arah mengadaptasikan Mantera ke sebuah novel,” katanya.
Bagi penulis novel Zura, katanya, walaupun ia adalah adaptasi filem beliau tetap melakukan kajian tambahan mengenai kepercayaan masyarakat Kadazan Dusun, khususnya watak Bobolian, yang menjadi teras penceritaan novel ini.
“Saya banyak membaca dan meneliti perkongsian tentang upacara Bobolian di laman sosial.
“Dari situ, saya cuba memahami motivasi serta emosi yang mungkin ada dalam diri seorang Bobolian.
“Saya harap pembaca dapat belajar sesuatu daripada Mantera. Ia bukan hanya tentang hantu tapi tentang kesedaran manusia terhadap amalan ritual dan nilai kemanusiaan dalam konteks budaya tempatan,” katanya dan menyifatkan novel Mantera lebih sekadar kisah seram semata-mata.
Zura atau nama sebenarnya Siti Syazurah Mohd Anwar merupakan seorang penulis novel ‘thriller’ dengan naskhah nukilannya yang popular termasuk La Rosa Apartment, Ghairah, Sorok, Celaru, Rumah di Hidden Hill, Permainan Maut dan Diam.
Dalam perkembangan lain, Dekan ASTiF Prof Dr Zairul Anuar Md Dawam berkata UMS baru sahaja membuka program filem dan telah menerima seramai 35 pelajar untuk kumpulan pertama.
Beliau optimis bahawa pembangunan industri kreatif dan filem yang mampan di Sabah akan membuka peluang kerjaya yang luas kepada graduan-graduan UMS dalam bidang yang mereka ceburi.
Filem Mantera, terbitan Pro Merge Vision Sdn. Bhd, mengisahkan tentang tradisi lama amalan ritual yang dijalankan oleh ‘Bobolian’, yang terkenal dalam kalangan kaum Kadazan Dusun di Sabah.
Mantera, sebuah filem seram yang menggabungkan budaya, mistik dan elemen kekeluargaan, ditayangkan di 52 pawagam di seluruh Malaysia dan satu di Brunei pada 24 April 2025.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah penerbit filem Mantera Zahm Zulkifli, novelis Zura Anwar, pelakon utama Mantera Jovenea Jim, penerbit dan pengarah filem Sabah, wakil dari Perpustakaan Sabah dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre (Scenic), wakil-wakil persatuan, penggiat filem serta pelajar tahun satu program filem ASTiF.




