
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Walaupun telah dua minggu berlalu, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri masih terasa sehingga kini.
Manakan tidak, ramai yang sudah mula membuat rumah terbuka dan menjemput orang terdekat bagi meraikan hari lebaran yang masih berlangsung selama sebulan.
Selagi Syawal belum sampai ke penghujung, selagi itulah ramai yang masih meraikannya.
Bila sebut tentang perayaan ini, masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk menjadikannya lebih bermakna khusus bersama yang tersayang.
Dari Game Bertukar Hadiah, Terus Jadi Momen Indah
Baru-baru ini, seorang wanita warga emas dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi Johor membuat kejutan kepada lapan orang anaknya dengan memberi barang kemas miliknya sendiri kepada mereka.
Warga emas yang dikenali sebagai Ainon Kosnan menghadiahkan barang perhiasannya itu sebagai tanda kasih kepada anak-anak sempena Hari Raya Aidilfitri sekaligus menjadikan lebaran kali ini lebih bermakna.
Menurut anak kepada Ainon yang dikenali sebagai Suzana Ramlan, pada asalnya dia serta adik-beradik yang lain merancang untuk bermain permainan tukar hadiah.
Suzana yang merupakan anak kelima kemudiannya memaklumkan perancangan itu kepada ibunya yang berusia 71 tahun itu.
Namun secara spontan, si ibu terus meluahkan hasrat untuk mengagihkan barang kemas miliknya sendiri kepada kesemua anak.
“Mak memang sudah lama berniat untuk memberikan barang kemas kepada kami adik-beradik kerana sudah tidak memakainya, tambahan pula keadaan kesihatan mak yang tidak lagi seperti dahulu.
“Jadi, mak masukkan semua barang kemas dalam sampul surat dan kami buat cabutan nombor seperti cabutan bertuah pada malam raya pertama,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
Nilai Barang Kemas Dianggar Cecah Ratus Ribu Ringgit, Siap Beli Gelang Tambahan Untuk Lengkapkan Bahagian
Kongsi Suzana, nilai barang kemas yang diberi ibunya dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit serta diagihkan secara adil dan seimbang.
“Ada yang nampak kecil tetapi padat, mak memang adil dalam pembahagian. Malah, mak sanggup membeli dua gelang tambahan untuk cukupkan lapan bahagian,” jelasnya.
Barang Kemas Ibu Ada Nilai Sentimental, Simpan Buat Kenangan
Jelas Suzana lagi, dia serta adik beradik yang lain tidak akan menjual barang kemas berkenaan kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Ini bukan sekadar emas, tetapi kenangan dan tanda kasih sayang mak kepada kami. Kami akan simpan sebaiknya,” katanya.
Pada masa yang sama, Suzana menjelaskan ibunya kini berkerusi roda akibat kecederaan yang dialami kerana terjatuh.
“Mak pernah menjalani pembedahan dan masih boleh berjalan, tetapi tidak kuat. Sekarang adik bongsu yang tinggal di kampung menjaga mak sepenuhnya,” ceritanya lagi.
Perkongsian Di TikTok Hanya Untuk Kenangan
Suzana turut menjelaskan bahawa perkongsian video pemberian barang kemas di TikTok @suzenramlan hanyalah sebagai kenangan.
Dia sama sekali tidak menyangka hantaran itu mendapat perhatian netizen sehingga meraih lebih 400,000 tontonan.
“Kami rakam untuk simpanan sendiri, tetapi bila dikongsi, tak sangka pula ia tular dan mendapat pelbagai reaksi positif.
“Ramai yang mendoakan kesihatan mak, itu yang buat kami sangat terharu,” terangnya lagi.
@suzenramlan 1 syawal tahun ini amat berbeza dgn tahun sebelum2 ini… Kami tak sangka mak buat kejutan utk kami 8 beradik… Alhamdulillah kami dpt berkumpul semua pada malam raya pertama. Mak hadiahkan barang kemasnya buat kami.. Allahuakbar.. tak terucap dengan kata2…Kami selayaknya tidak layak menerima kerana jasa dan pengorbanan beliau tak terbalas lagi… Ya Allah berilah kesihatan buat mak dan bapak kami…Semoga sentiasa dalam lindunganmu🫶
♬ original sound – encikamat811 – encikamat811
Tonton video penuh [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Ibu Mentua Kiriman Tuhan! Wanita Dapat Hadiah Gelang Emas Lepas Pantang Buat Ramai Teruja
Baca Artikel Berkaitan: Kalau Dah Namanya Rezeki, Menantu Dapat Hadiah Gelang Emas Daripada Ibu Mentua [Video]


