SHAH ALAM - Seorang warga emas dari Felda Papan Timur, Kota Tinggi, Johor, menghadiahkan barang kemas miliknya kepada lapan anak sebagai tanda kasih sayang sempena Aidilfitri, sekali gus mencipta kenangan bermakna buat seisi keluarga.
Suzana Ramlan, 47, berkata, idea tersebut pada asalnya tercetus daripada perbincangan adik-beradik yang merancang mengadakan permainan tukar hadiah ketika Aidilfitri.
Menurutnya, cadangan itu kemudian dimaklumkan kepada ibu mereka, Ainon Kosnan, 71, yang secara spontan menyatakan hasrat untuk mengagihkan barang kemas miliknya kepada semua anak.
"Mak memang sudah lama berniat untuk memberikan barang kemas kepada kami adik-beradik kerana sudah tidak memakainya, tambahan pula keadaan kesihatan mak yang tidak lagi seperti dahulu.
"Jadi, mak masukkan semua barang kemas dalam sampul surat dan kami buat cabutan nombor seperti cabutan bertuah pada malam raya pertama,” katanya kepada Sinar Harian.
Video pemberian barang kemas Ainon kepada lapan anaknya dikongsikan Suzana meraih 387,500 tontonan dengan 11,400 tanda suka.
Suzana yang merupakan anak kelima berkata, mereka tidak menyangka video tersebut mendapat perhatian ramai selepas dimuat naik sekadar sebagai kenangan keluarga.
“Kami rakam untuk simpanan sendiri, tetapi bila dikongsi, tak sangka pula ia tular dan mendapat pelbagai reaksi positif. Ramai yang mendoakan kesihatan mak, itu yang buat kami sangat terharu,” ujarnya lagi.
Tanpa mendedahkan jumlah sebenarnya, menurutnya, nilai keseluruhan barang kemas yang diagihkan dianggarkan mencecah ratus ribu ringgit dengan setiap anak menerima bahagian yang seimbang.
“Ada yang nampak kecil tetapi padat, mak memang adil dalam pembahagian. Malah, mak sanggup membeli dua gelang tambahan untuk cukupkan lapan bahagian,” katanya.
Tambahnya, mereka adik beradik termasuklah dirinya berjanji untuk tidak menjual barang kemas tersebut kerana ia mempunyai nilai sentimental yang tinggi.
“Ini bukan sekadar emas, tetapi kenangan dan tanda kasih sayang mak kepada kami. Kami akan simpan sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Suzana memaklumkan ibunya kini berkerusi roda selepas mengalami kecederaan akibat terjatuh sebelum ini.
“Mak pernah menjalani pembedahan dan masih boleh berjalan, tetapi tidak kuat. Sekarang adik bongsu yang tinggal di kampung menjaga mak sepenuhnya,” katanya.



