Dari pempengaruh ke usahawan, ASIA bantu bina jenama sendiri

LocalBusiness & Finance
19 Mar 2026 • 4:06 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Datuk Abd Rahman Soltan pada Majlis Iftar All Star Influencers Award (ASIA) bersama 40 anak yatim dan 20 pelajar tahfiz yang turut dihadiri lebih 100 pempengaruh tempatan, baru-baru ini.

SHAH ALAM - Golongan pempengaruh media sosial kini berpeluang mengembangkan potensi mereka ke tahap lebih tinggi apabila digalakkan membina jenama serta produk sendiri menerusi Influencer Partnership Program (IPP) yang diperkenalkan oleh All Star Influencers Award (ASIA).

Pengerusinya, Datuk Abd Rahman Soltan berkata, inisiatif itu membuka ruang kepada pempengaruh untuk tidak hanya bergantung kepada aktiviti promosi produk pihak lain, sebaliknya melangkah sebagai usahawan dengan menghasilkan produk sendiri.

Menurutnya, program berkenaan turut membantu pempengaruh menjana sumber pendapatan yang lebih stabil dan mampan dalam jangka panjang.

“Melalui program ini, kami memilih pempengaruh yang berpotensi untuk menghasilkan dan memasarkan produk mereka sendiri. ASIA bertindak sebagai badan induk yang membantu dari segi pembangunan produk sehingga pemasaran.

“Apabila mereka mempunyai jenama sendiri, mereka dapat membina sumber kewangan yang lebih kukuh. Keuntungan pula dikongsi bersama. Ini adalah usaha kami untuk membantu anak muda berani berniaga dan membina jenama sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Iftar All Star Influencers Award (ASIA) bersama 40 anak yatim dan 20 pelajar tahfiz yang turut dihadiri lebih 100 pempengaruh tempatan, baru-baru ini.

Tambahnya, kejayaan pempengaruh popular, Sally Whoo melalui jenamanya membuktikan potensi besar program tersebut apabila berjaya menjana jualan mencecah jutaan ringgit, bermula dengan hanya dua produk.

“Rahsia kejayaan adalah konsisten mempromosikan produk sendiri termasuk aktif melakukan sesi siaran langsung bagi meningkatkan jualan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abd Rahman memaklumkan pihaknya turut merancang untuk memperluaskan program ASIA ke peringkat antarabangsa dengan penglibatan lebih 20 negara Asia sejak 2023.

Katanya, program promosi digital yang dilaksanakan sebelum ini berjaya merekodkan lebih 1.3 bilion tontonan di TikTok selain kira-kira 600 juta tontonan di Instagram tahun lalu.

“Untuk tahun ini, kami memberi fokus dalam membantu mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) melalui pelbagai program dan acara antarabangsa,” katanya.

Antara perancangan termasuk penganjuran kejohanan tinju antarabangsa di Dubai melibatkan 10 negara selain acara bola sepak persahabatan Malaysia-Indonesia, kejohanan snuker serta beberapa program sukan lain.

Menurutnya, semua persiapan bagi kejohanan tinju tersebut telah siap sepenuhnya dengan pertandingan dijangka berlangsung pada 5 April ini di Dubai.

“Persiapan sudah dilakukan dan mendapat sambutan baik. Kini hanya menunggu masa untuk pertandingan berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, majlis berbuka puasa yang diadakan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pempengaruh dan masyarakat selain menyemai nilai keprihatinan terhadap golongan memerlukan.

“Program ini bukan sekadar menghimpunkan pempengaruh, tetapi juga memberi peluang kepada mereka berkongsi rezeki dan menanam rasa keprihatinan terhadap anak-anak yatim dan pelajar tahfiz,” katanya.