KDEBWM, Right On Track dan UUM KL kongsi rezeki dengan anak yatim, pelajar tahfiz

10 Mar 2026 • 9:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ramli beramah mesra dengan pelajar tahfiz pada Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz di Petals Event Space, pada Isnin.
image is not available
Ramli menyantuni pelajar tahfiz pada Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz di Petals Event Space, pada Isnin.

SHAH ALAM - Seramai 120 anak yatim dan pelajar tahfiz diraikan dalam Majlis Iftar Ramadan anjuran KDEB Waste Management (KDEBWM) dengan kerjasama Right On Track (ROT) serta Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur (UUMKL) sebagai usaha berkongsi rezeki serta menceriakan mereka menjelang Aidilfitri.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management, Datuk Ramli Mohd Tahir berkata, program itu merupakan inisiatif untuk berkongsi rezeki serta menceriakan golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri.

Menurutnya, keseluruhan program tersebut melibatkan tajaan kira-kira RM40,000 yang merangkumi penyediaan pakaian Hari Raya, juadah berbuka puasa serta pelaksanaan aktiviti kebajikan sepanjang program berlangsung.

“Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, kita mengambil peluang untuk berkongsi rezeki dengan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz supaya mereka turut merasai kegembiraan menjelang Aidilfitri.

“Selain menjamu mereka berbuka puasa, kita juga memberikan persalinan baju raya sebagai tanda ingatan dan untuk menceriakan mereka menyambut Syawal,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar bersama anak-anak yatim dan pelajar tahfiz di Petals Event Space, di sini, pada Isnin.

Sebelum ini, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menghimpunkan 65 anak yatim dan 55 pelajar tahfiz dari beberapa rumah kebajikan sekitar Shah Alam bagi bersama-sama menikmati juadah berbuka puasa serta menerima sumbangan persalinan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, 50 anak yatim merupakan penghuni Rumah Anak Yatim Baitus Sofwah di Setia Alam, manakala 15 lagi daripada Rumah Kasih Harmoni di Paya Jaras. Sementara itu, 55 pelajar tahfiz yang turut diraikan merupakan pelajar daripada Rumah Tahfiz Seksyen 13.

**media[3458008]**

Ramli menambah, KDEBWM secara konsisten melaksanakan program kebajikan setiap tahun dengan menziarahi rumah anak yatim serta institusi kebajikan sebagai usaha menyantuni golongan memerlukan.

"Matlamat kita, bulan Ramadan adalah bulan paling baik dalam Islam dan kita mengeluarkan sedikit perbelanjaan khususnya untuk memberi makan kepada mereka yang berpuasa," ujarnya.

Kata beliau lagi, kerjasama antara KDEBWM, Right On Track dan UUMKL dalam penganjuran program tersebut juga membuktikan bahawa gabungan sektor korporat, organisasi sosial dan institusi pendidikan mampu memberi impak lebih besar kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Universiti Utara Malaysia Kampus Kuala Lumpur turut menghantar sukarelawan dalam kalangan pelajarnya bagi membantu mengurus serta menyantuni anak-anak yatim dan pelajar tahfiz sepanjang program berlangsung.

Penganjuran program tersebut turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 17 iaitu Partnerships for the Goals yang menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak serta SDG 2: Zero Hunger.

Usaha menyantuni anak yatim dan pelajar tahfiz itu juga bertepatan dengan tuntutan Islam yang menggalakkan umatnya membantu golongan memerlukan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.