Daripada Pemain Boling Kebangsaan, Timmy Tan Kini Terajui Nation Bow

Business & FinanceSports
31 Jul 2026 • 1:49 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Daripada mengejar kejayaan sebagai pemain boling kebangsaan, Timmy Tan kini mengambil satu langkah baharu dalam dunia yang sudah begitu dekat dengannya apabila menerajui Nation Bowl, pusat boling 10-pin baharu yang bakal dibuka di Seri Kembangan.

Lebih daripada sekadar sebuah pusat hiburan, Nation Bowl menjadi pencapaian penting buat Timmy apabila ia merupakan pusat boling pertama yang diasaskannya sendiri.

Image from: Daripada Pemain Boling Kebangsaan, Timmy Tan Kini Terajui Nation Bow

Dijadualkan mula beroperasi pada Disember 2026, Nation Bowl bakal menempati ruang seluas lebih 27,000 kaki persegi di The Mines, dengan 28 lorong boling bertaraf kejohanan.

Menariknya, Timmy bukan sekadar membawa nama dan pengalamannya dalam sukan boling ke projek ini. 

Nation Bowl turut menyediakan akademi latihan untuk mereka yang mahu mempelajari atau mendalami sukan berkenaan, selain kafe dan ruang niaga.

Bagi Timmy, langkah ini mempunyai nilai peribadi dan profesional tersendiri, apatah lagi ia menandakan peralihannya daripada seorang atlet kepada individu yang turut memainkan peranan dalam membentuk pengalaman boling untuk komuniti.

“Pembukaan pusat boling pertama saya di The Mines merupakan satu pencapaian yang amat bermakna, dari segi peribadi dan profesional. Saya berharap Nation Bowl mampu menjadi ruang yang menyeronokkan dan mesra untuk masyarakat daripada pelbagai peringkat umur berkumpul, beriadah dan menikmati sukan boling bersama-sama,” ujar Timmy.

Menurut Timmy lagi, pemilihan The Mines sebagai lokasi Nation Bowl juga bertepatan dengan identitinya sebagai pusat beli-belah yang menjadi pilihan keluarga serta komuniti setempat.

Image from: Daripada Pemain Boling Kebangsaan, Timmy Tan Kini Terajui Nation Bow

Sementara itu, Pengurus Besar The Mines, Alicia Yuen berkata, pihaknya berbesar hati menjadi lokasi pertama Nation Bowl kerana ia memberi lebih banyak pilihan hiburan di pusat beli-belah itu.

“Kehadiran Nation Bowl juga mencerminkan komitmen kami untuk terus menawarkan pengalaman yang lebih menarik dan relevan dengan gaya hidup komuniti hari ini. Ia juga mengukuhkan lagi kedudukan The Mines sebagai sebuah hab komuniti yang unik di Lembah Klang,” ujar Alicia.

Dengan pembukaan yang dijadualkan pada hujung tahun ini, Nation Bowl bakal memperkenalkan satu lagi sisi Timmy Tan kepada umum, bukan hanya sebagai atlet yang biasa berada di belakang bola boling, tetapi sebagai pengasas yang kini menerajui hala tuju sebuah pusat boling dengan aspirasi untuk mendekatkan sukan itu kepada lebih ramai orang. - Getaran, 31 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved