
KEMAJUAN kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini semakin mengubah cara manusia berkomunikasi, bekerja dan menjalani kehidupan seharian.
Namun, di sebalik manfaat besar teknologi itu, muncul cabaran baharu apabila AI disalahgunakan untuk memanipulasi identiti, emosi dan imej seseorang.
Teknologi seperti deepfake dan penipuan cinta atau love scam berasaskan AI bukan sahaja mengakibatkan kerugian kewangan, malah mampu mencemarkan maruah serta meninggalkan kesan emosi kepada mangsa.
Menurut Pensyarah di Pusat Sains Kemanusiaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pahang, Nur Faezah Musthapar, ancaman berkenaan semakin membimbangkan apabila kandungan yang dihasilkan AI kelihatan hampir sama seperti realiti.
“Berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 100 kes penipuan cinta dilaporkan pada Januari 2026 berbanding 95 kes pada bulan sama tahun sebelumnya.
“Walaupun jumlah kerugian menurun daripada RM4.9 juta kepada RM3.5 juta, angka tersebut tetap menunjukkan bahawa penipuan berasaskan hubungan romantik masih menjadi ancaman serius dalam ruang digital,” katanya kepada K-Tekno secara dalam talian baru-baru ini.
Tambahnya, wanita mencatatkan 60 peratus daripada keseluruhan mangsa, manakala 72 peratus mangsa terdiri daripada individu berusia antara 30 hingga 50 tahun.
Situasi ini memperlihatkan bahawa ancaman digital tidak mengenal usia dan bukan semata-mata berkaitan wang.
Kepercayaan, emosi, maruah dan kesejahteraan psikologi turut menjadi taruhan apabila seseorang terpedaya dengan identiti palsu yang dibina menggunakan teknologi canggih.
Kongsi Nur Faezah lagi, dalam love scam berasaskan AI, penipu boleh mencipta profil yang kelihatan meyakinkan dengan menggunakan imej, suara, video serta perbualan yang dijana teknologi.
“Mereka mungkin menyamar sebagai individu profesional, golongan berada atau seseorang yang bekerja di luar negara sebelum membina hubungan secara perlahan-lahan dengan mangsa.
“Selepas kepercayaan diperoleh, permintaan wang mula dibuat atas alasan kecemasan, kos rawatan, perjalanan atau urusan peribadi,” ujarnya.
Katanya lagi, lebih membimbangkan, AI turut boleh digunakan untuk menghasilkan kandungan palsu yang memalukan mangsa.
Gambar peribadi boleh dimanipulasi menjadi imej atau video yang tidak pernah berlaku, sebelum digunakan sebagai alat pemerasan.
Keadaan ini menunjukkan bahawa penyalahgunaan AI telah berkembang daripada penipuan identiti kepada bentuk eksploitasi emosi, ugutan dan pencabulan maruah manusia.
“Dalam menghadapi realiti ini, prinsip agama khususnya dalam Islam boleh menjadi panduan penting.
“Antara nilai utama ialah tabayyun iaitu menyelidik dan memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya,” tambah Nur Faezah.
Jelasnya lagi, prinsip ini amat relevan dalam era deepfake kerana sesuatu yang dilihat dan didengar tidak semestinya benar.

Masyarakat perlu menyemak sumber, mengesahkan identiti serta tidak terburu-buru membuat keputusan berdasarkan kandungan digital.
Pada masa sama, pemeliharaan kehormatan menuntut setiap individu menjaga maruah dan privasi diri.
Perkongsian gambar, video serta maklumat peribadi perlu dilakukan secara berhati-hati kerana bahan tersebut berpotensi dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Sebarang penggunaan AI untuk memfitnah, memperdaya atau mencemarkan nama baik seseorang jelas bertentangan dengan prinsip menjaga kehormatan insan.
Kata Nur Faezah, Islam juga menegaskan larangan terhadap penipuan, pemalsuan dan pengkhianatan amanah.
“Teknologi secanggih mana sekalipun tidak mengubah batas antara perkara yang benar dan salah.
“Oleh itu, penggunaan AI untuk menyamar, mencipta identiti palsu atau memperdaya emosi orang lain tetap merupakan perbuatan yang bertentangan dengan nilai amanah dan akhlak,” jelasnya.
Nur Faezah menambah, selain itu, masyarakat perlu mengamalkan adab pergaulan dalam ruang siber. Hubungan maya yang terlalu pantas dan rapat dengan individu tidak dikenali boleh membuka ruang kepada manipulasi.
Sikap wasatiyyah atau sederhana juga penting supaya manusia tidak terlalu bergantung kepada teknologi sehingga mengabaikan keluarga, ibadah dan hubungan sesama insan.
Dalam menangani penyebaran deepfake, fitnah dan kandungan palsu, masyarakat turut mempunyai tanggungjawab melalui amar makruf nahi mungkar.
Kandungan mencurigakan perlu dilaporkan, akaun penyebar boleh disekat dan mangsa wajar diberikan sokongan tanpa dipersalahkan.
Pendidikan literasi digital dan kesedaran mengenai risiko AI juga perlu diperkasakan secara berterusan.
Nur Faezah menegaskan, teknologi mungkin mampu menyembunyikan perbuatan manusia daripada pandangan orang lain, tetapi tidak daripada pengetahuan Allah SWT.
“Kecanggihan AI tanpa iman dan akhlak boleh menjadi alat yang merosakkan, sebaliknya teknologi yang dipandu nilai agama mampu membawa manfaat.
“Dalam dunia AI yang semakin canggih, maruah insan hanya dapat dipelihara apabila kemajuan teknologi berjalan seiring dengan kebijaksanaan, amanah, iman dan akhlak,” tuturnya.
The post Daripada penipuan identiti kepada eksploitasi emosi appeared first on Kosmo Digital.


